| Universiti Putra Malaysia

UPM siap siaga terima kemasukan pelajar ke kampus secara sepenuhnya

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut baik pengumuman YB. Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad untuk membenarkan kemasukan empat lagi kategori pelajar IPT secara berperingkat mulai Julai 2020 dan sepenuhnya pada Oktober akan datang.

Sehubungan dengan itu, UPM sedang merancang persiapan rapi bagi pembukaan kampus sepenuhnya dengan mempermudah urusan kepulangan pelajar ke kampus, khususnya mereka yang berasal daripada keluarga B40 dan asnaf. UPM juga mengurus untuk menyediakan penginapan pelajar sama ada dalam dan di luar kampus.

Pada masa sama, UPM menyokong pembukaan kampus sepenuhnya seperti yang diumumkan oleh YB. Menteri kerana sudah tiba masanya proses pembelajaran dan pengajaran diteruskan seperti biasa dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Meskipun pembelajaran maya akan diteruskan sehingga hujung tahun ini, kemasukan pelajar sepenuhnya pada bulan Oktober nanti diharap akan dapat meneruskan pembelajaran bersemuka selain kegiatan ko-kurikulum yang sangat penting sebagai interaksi sosial pelajar untuk melahirkan graduan yang holistik.

Tanpa menafikan kepentingan dan kewajaran pembelajaran maya, pembelajaran bersemuka tentunya memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza apabila berlaku interaksi pelajar dengan pensyarah secara langsung.

Penjelasan yang lebih terperinci mengenai keperluan penginapan dan pembelajaran pelajar akan dikeluarkan sedikit masa lagi. Justeru, pelajar tidak perlu bimbang dan khuatir. - UPM

SXEZRAW~