| Universiti Putra Malaysia

UPM sertai Program Menanam Pokok Buluh sempena sambutan World Bamboo Day Malaysia

SERDANG – Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Penanaman Pokok Buluh sempena Sambutan World Bamboo Day Malaysia 2021 anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) baru-baru ini.

Program diketuai oleh Pengarah INTROP, Prof. Ts. Dr. Khalina Abdan dan dijalankan serentak di seluruh negara secara maya. Ia adalah sebagai tanda sokongan kukuh terhadap pembangunan industri buluh negara serta simbolik kepada sambutan Hari Malaysia ke-58.

INTROP, UPM, selaku HICoE (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi) dalam bidang kayu dan gentian tropika dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pahang adalah dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan yang  menyertai program itu.

Buluh yang ditanam oleh INTROP dalam program itu adalah buluh madu (Gigantochloa albociliata) iaitu buluh yang biasa ditanam oleh orang kampung untuk penuaian rebungnya yang sedap.

Potensi buluh madu dalam bidang pemprosesan panel buluh berlaminasi telah menarik perhatian pengusaha ladang dan pengusaha produk buluh berlamina kebelakangan ini.

Tidak seperti buluh biasa yang berlubang di tengah, buluh madu mempunyai bahagian tengah yang tumpat. Dalam penghasilan panel buluh berlaminasi, buluh madu mempunyai kelebihan kerana ia boleh menghasilkan jalur buluh yang tebal (>20 mm) berbanding dengan buluh biasa (~10 mm).

Untuk dijadikan panel buluh berlaminasi, jalur buluh yang nipis perlu melalui proses tambahan di mana jalur-jalur itu perlu dilekat untuk menjadikan jalur tebal yang sesuai untuk pembuatan panel buluh berlaminasi. Jalur buluh madu yang tebal tidak perlu melalui proses tambahan ini dan dapat meningkatkan kecekapan pembuatan panel buluh berlaminasi.

Setiap peserta menanam secara serentak  di rumah/kediaman/pejabat masing-masing pada hari itu mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara di setiap negeri masing-masing.

Program berkenaan mendapat sambutan meriah daripada peserta dari seluruh negara antaranya Tanah Merah, Kelantan; Gunung Lang, Perak; UiTM Pahang, Jengka, Pahang; Bandar Puteri Bangi, Selangor; Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor; Royal Bamboo Garden, Kampung Lada, Jerantut, Pahang; Masjid An-Nur, Taman Putera Jaya, Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Kepok, Kelantan; Kuala Berang, Terengganu; Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor; Taman Sri Jelok, Kajang, Selangor; Kampung Bukit Bidang, Pasir Puteh, Kelantan; Kampung Goshen, Kota Marudu, Sabah; Kuala Nerus, Terengganu dan Kampung Tarom, Johor Baharu, Johor. - UPM

WXDdDAV~