| Universiti Putra Malaysia

UPM sertai persidangan ASAIHL 2017 di Universitas Hasanuddin, Makassar

Oleh Mohd Nazri Md Yasin

 

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM bersama Dr. Ninnat Olanvoravuth selaku Setiausaha Kehormat ASAIHL

 

MAKASSAR, 17 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai persidangan The Association of Southeast Asian Institutions of Higher Learning (ASAIHL) tahun 2017 mulai 16 hingga 19 Mei lalu di Universitas Hasanuddin, Makassar, Indonesia.

Persidangan yang dirasmikan oleh Menteri Penyelidikan, Teknologi, dan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. H Mohamad Nasir bertemakan Higher Education Challenges in Shaping The Nation Competitiveness.

Prof. Dr. Nasir menggesa agar ASAIHL bukan sahaja bertindak sebagai forum perbincangan tetapi memperkukuh persefahaman dalam menerajui sektor pendidikan tinggi.

“Pendidikan tinggi adalah kekuatan kompetensi individu, kemajuan sosial masyarakat dan pengembangan budaya. Melalui pendidikan, kita menemukan tempat kita di dunia, memahami dunia dan saling menghargai antara satu sama lain,” ujar beliau.

Rektor Universitas Hasanuddin, Prof. Dr. Dwia Aries Tina Pulubuhu menegaskan sejajar dengan harapan masyarakat terhadap peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) meningkatkan aspek akauntabiliti, ia memberi dorongan kuat kepada IPT untuk membangunkan sistem governans yang lebih baik.

PProf. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM bersama Prof. Dr. Dwia Aries Tina Pulubuhu, Rektor Universitas Hasanuddin

Antara tokoh yang memberikan ucap utama adalah Prof. Jun Murai, Mantan Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar dan Maklumat, Keio University, Japan, Prof. Kai-Ming Cheng Profesor Kursi Pendidikan di University of Hong Kong, Gita Wirjawan, ahli Lembaga Pemegang Amanah Univesitas Hasanuddin yang turut merupakan usahawan berjaya dan mantan Menteri Perdagangan dan Industri Indonesia. Turut hadir, Dr. Ninnat Olanvoravuth selaku Setiausaha Kehormat ASAIHL.

Pada persidangan kali ini, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Aini Ideris, turut hadir ke mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah ASAIHL bagi membincangkan hala tuju dan isu pendidikan termasuk program Fellowship ASAIHL.

UPM telah memberikan komitmen untuk menghantar staf ke Naresuan University, Thailand di bawah Skim Fellowship Air Asia ASAIHL Programme yang melibatkan pertukaran pegawai antara kedua-dua universiti untuk tempoh minimum satu minggu bagi meningkatkan kerjasama akademik.

Fellowship itu merupakan program yang julung kali ditawarkan oleh Air Asia kepada ASAIHL di mana UPM-Naresuan University merupakan penerima pertama skim tersebut.

Delegasi UPM terdiri daripada  Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Syed Jalaluddin Syed Salim, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor, Profesor Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varaharajoo Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industi dan Masyarakat) dan Mohd Nazri Md Yasin, Ketua Bahagian Pentadbiran, Pejabat Naib Canselor.

ASAIHL ditubuhkan pada tahun 1956 merupakan badan bukan kerajaan bagi memperkukuhkan peranan dan sumbangan universiti di Asia Tenggara.

 

 

SXEYEA~