UPM Serah Kunci Rumah Orang Asli Kachau Luar, Semenyih | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM serah kunci rumah Orang Asli Kachau Luar, Semenyih

UPM serah kunci rumah Orang Asli Kachau Luar, Semenyih


Oleh: Faten Syahira Syakrein
Foto: Suhkeri Abu Bakar

SEMENYIH – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerahkan kunci dua rumah yang dibina kepada penduduk kampung Orang Asli di Kampung Kachau Luar, Semenyih baru-baru ini.

Kunci itu diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo kepada seorang daripada pemilik rumah berkenaan, Zuriani Abdullah.

Majlis disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jamalludin Kasbi, Wakil AZRB, Long Hamdan Long Mat dan Batin Kampung Orang Asli Kachau Luar, Batin Zainal Kilong.

Projek itu merupakan anjuran Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UPM dengan kerjasama Kelab Pelajar Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UPM,  Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) serta JAKOA, dan mendapat dana sumbangan dari Unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM.



Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth berkata projek itu menterjemahkan hasrat UPM untuk memasyarakatkan universiti bagi kesejahteraan komuniti.

“Saya percaya projek ini bukan sahaja menonjolkan peranan UPM dan AZRB dalam sumbangan terhadap pembangunan komuniti, malah meningkatkan kefahaman pelajar yang terlibat terhadap pembinaan yang berkualiti, melahirkan jurutera awam yang peka terhadap keselamatan manusia serta kelestarian alam sekitar.

“Ia juga meningkatkan kemahiran insaniah diri daripada aspek bakat dan aktiviti komuniti,” katanya.

Jamalludin dalam ucapannya pula berkata projek itu dapat mewujudkan peluang kerjasama masyarakat Orang Asli dengan universiti, pihak industri serta agensi kerajaan untuk perkongsian ilmu dari semasa ke semasa.

“Saya berharap kerjasama seperti ini akan dilaksanakan lebih banyak dan berterusan untuk dimanfaatkan oleh penduduk Orang Asli serta meningkatkan taraf hidup untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Penerima kunci rumah, Zuriani Abdullah, 30, berkata rumah itu memberi sinar baharu kepada keluarganya untuk menduduki kediaman yang selesa.

“Sebelum ini saya cukup risau bila musim hujan kerana air akan masuk ke dalam rumah dan membuatkan keluarga tidak selesa,” katanya sambil melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam pembinaan rumah itu.



Projek Amal Pembinaan Rumah Orang Asli yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Dr. Syazwani Idrus yang mana turut dianggotai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Saifulnaz Muhammad Rashid, Dr. Fauzan Mohd Jakarni, Dr. Nuzul Azam Haron, Prof. Dr. Ratnasamy Muniandy, Aminuddin Amdam dan Mohd Razali Abdul Rahman itu bermula September 2015.

Rumah batu bata dengan keluasan 800 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu serta dapur mengambil masa kurang daripada sebulan untuk disiapkan dengan kos lebih kurang RM40,000 dan turut melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada 80 orang pelajar dan 20 staf Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UPM. - UPM


 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506247722