| Universiti Putra Malaysia

UPM sentiasa galak atlet cemerlang dalam sukan dan akademik

Oleh:  Azman Zakaria

 

 

SERDANG, 4 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus meningkatkan kecemerlangan dengan sentiasa memberi penekanan terhadap asas yang disediakan untuk pelajar membabitkan diri dan seterusnya berjaya dalam sukan.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris berkata UPM mempunyai sejarah dan tradisi yang memberikan penekanan tinggi antaranya terhadap bidang sukan serta memberi sokongan untuk atlet mencapai cita-cita untuk berjaya dalam kedua-dua bidang akademik dan sukan secara serentak.

“Sistem akademik UPM amat sensitif kepada masalah dan cabaran yang dihadapi atlet, terutamanya dalam pengurusan masa untuk menghadiri latihan intensif, tuntutan untuk menyiapkan kerja kursus, menghadiri kuliah dan seumpamanya.

“Sistem akademik UPM memberikan fleksibiliti berkaitan bilangan kredit yang didaftar oleh pelajar setiap semester, serta menyediakan Learning Management System dan Putra Blast System yang membenarkan atlet yang berpangkalan di luar negara untuk mendapatkan semua bahan kuliah secara atas talian,” katanya pada majlis Distinguished Lecture Series yang disampaikan oleh presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, di sini.

Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini berkata, UPM juga menyediakan kolej penempatan khas yang dipanggil "MSN Block" bagi menempatkan semua atlet di bawah satu bumbung, berserta kelengkapan yang diperlukan.

Beliau berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan Majlis Sukan Malaysia (MSN) juga membantu atlet ke arah kecemerlangan dalam akademik dan sukan.

Kira-kira 250 orang daripada kalangan yang terbabit dalam sukan termasuk pelajar dan pensyarah universiti, institut latihan perguruan, atlet negara dan bekas atlet negara serta pentadbir sukan menghadiri sesi syarahan itu. - UPM

 

WXETTA~