| Universiti Putra Malaysia

UPM semakin mesra alam melalui Program Recycle To Cycle

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 21 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) kini semakin mesra alam dengan ‘kehijauan’  melalui program “Recycle To Cycle” (R2C) yang dilaksanakan oleh universiti itu bersama-sama dengan Coca-Cola Malaysia.

Sejak kempen itu dimulakan kira-kira tiga tahun lalu,UPM berjaya mengurangkan bilangan bas di dalam kampus, dengan kebanyakan bas juga kini menggunakan NGV.

Program itu juga menggalakkan pelajar menggunakan basikal atau berjalan untuk pergi ke zon akademik dengan memperkenalkan skim khas dengan kerjasama Koperasi UPM Bhd (KUPUTRA) untuk pembelian basikal melalui skim bayaran ansuran.

“Sebagai kampus dengan kehijauan, kami bersyukur dengan hasil daripada aktiviti Recycle To Cycle yang telah menyumbang ke arah pengurangan perlepasan karbon.



“Kami amat serius untuk memilki kampus hijau dan ini adalah satu lagi langkah ke hadapan yang positif,” kata Naib Canselor UPM, Profesor Dato’ Dr Mohd Fauzi Ramlan pada program Recycle To Cycle yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Dr Mohd Ali Mohamad Nor.

Program itu menggalakkan pelajar untuk melakukan kitar semula, sekali gus mengurangkan perlepasan karbon dan pada masa yang sama mengamalakan cara hidup aktif.

Program itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, di mana pelajar boleh mengkitar semual botol PET dan tin aluminium untuk ditukarkan dengan basikal dan helmet keselamatan.



Coca-Cola Malaysia bertindak sebagai pemangkin untuk UPM menjadi kampus lebih ‘hijau’ dengan kira-kira 7,000 basikal dibeli oleh pelajar melalui skim pembayaran itu.

Kumpulan asal 200 basikal masih ada untuk sewaan melalui kaedah kitar semula itu, yang diuruskan oleh Jabatan Biologi UPM, yang diketuai oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail.

Pengurus Besar  Coca-Cola Rantau Malaysia-Singapura-Brunei bagi Syarikat Coca-Cola, Gill McLaren berkata adalah amat menggembirakan apabila melihat UPM menjadi kampus ‘hijau’ dan kejayaan program R2C itu sebagai sebahagian daripada transformasi berkenaan.



“Majlis hari ini juga bagi meraikan kejayaan itu dan kita berharap lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa depan.

“Kami berbangga menjadi sebahagian yang menyumbang kepada usaha UPM untuk menjadi kampus paling hijau di negara ini, dan dilakukan juga dengan cara yang menggalakkan latihan fizikal dan cara hidup aktif,” katanya.

Fasa berikut program itu adalah usaha mempertingkatkan lagi program kitar semula dan pengurangan perlepasan karbon melalui pelancaran  “Red Cube”, iaitu program mesra alam dengan pembiayaan daripada geran asal dari Coca-Cola Malaysia.




Red Cube adalah sistem mengumpulkan air hujan yang mengalir secara berterusan di bumbung untuk menyejukkan bangunan bersama-sama dengan penggunaan kipas dan alat perlepasan udara.

Reka bentuk lain untuk memastikan bangunan kekal ‘hijau’ termasuk tingkap yang direkabentuk khas untuk pengaliran udara yang menggunakan peredaran udara biasa dan juga tumbuhan atau pokok di luar tingkap, untuk menyejukkan udara serta lampu,kipas dan alat perlepasan udara yang menggunakan tenaga solar.



Ia tidak menggunakan elektrik dan boleh digunakan sebagai pusat aktiviti pelajar dan boleh memuatkaan 50 orang. – UPM.

 


SXDdQA2~