| Universiti Putra Malaysia

UPM selaras misi bantuan kemanusiaan, optimakan bantu mangsa banjir

Oleh: Noor Eszereen Juferi & Muhd Amiruddin Abdul Aziz
Foto oleh: Mozaid Idris

SERDANG, 22 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyelaraskan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa yang memerlukan sumbangan serta terkesan akibat bencana banjir yang berlaku di negara ini.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata inisiatif UPM mewujudkan Bilik Operasi Bantuan Banjir (BOBB) di Kolej Canselor, UPM adalah untuk menyelaras semua inisiatif bantuan dan penyediaan sukarelawan PUTRA Cakna oleh UPM bagi kawasan-kawasan yang terkesan di sekitar Selangor.

“UPM telah menyediakan keperluan asas yang diperlukan oleh mangsa banjir untuk diedarkan kepada warga UPM yang sedang menghidapi musibah banjir dan pihak kami telah terima banyak sumbangan daripada individu serta warga UPM sendiri,” katanya.

Tambah beliau, dengan pengedaran bantuan itu dapat membantu mengurangkan bebanan warga UPM dan komuniti  yang menjadi mangsa banjir.

Inisiatif PUTRA Cakna turut mengadakan perancangan, persediaan dan pelaksanaan BOBB, UPM dengan mewujudkan tabung bagi pelbagai pihak yang ingin menyumbang bagi bantuan barang basah, barang keperluan kering dan logistik.

Selain itu, sukarelawan yang terdiri dari staf dan pelajar UPM turun padang untuk menyalur khidmat bakti dengan membantu mangsa banjir yang terkesan. Sehingga kini, 250 pelajar dan 50 staf UPM telah mendaftar sebagai sukarelawan.

Pelajar Bacelor Penntadbiran Perniagaan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE). UPM,  Nurul Syazwani Muhamed Zabidi  berkata yang juga ketua bagi sukarelawan pelajar berkata beliau gembira dapat melibatkan diri dalam tugasan sebegini.

“Saya berbesar hati dapat memberi bantuan dan dalam masa yang sama turut berasa sedih apabila mengetahui keadaan rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang sedang menghadapi  musibah banjir,” katanya.  

Rakannya, pelajar Bacelor Perakaunan, SPE, UPM,  Nurul Auni Izzah Mohd. Jafri berkata, beliau terharu dengan semangat keprihatinan rakyat Malaysia terhadap mangsa-mangsa banjir dan berharap agar semangat keprihatinan ini berkekalan.

“Saya tidak menyangka pihak luar serta pelajar UPM telah sudi menyalurkan banyak bantuan kepada mangsa banjir dan ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah prihatin kerana semua golongan memberi sokongan dalam menjayakan bantuan ini,” katanya.

YB Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad akan turut bersama pasukan UPM pada 23 Disember 2021 (Khamis) untuk mengedarkan bantuan mangsa banjir di sekitar Puchong, Subang, Petaling dan Sg. Buluh.

UPM turut mengalu-alukan sumbangan daripada warga UPM dan orang awam serta  boleh menghubungi Sekretariat BOBB UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah atau En. Khairul Jusoh@Yusof di talian 03-97697505 untuk menyalurkan bantuan.

Inisiatif ini adalah seiring dengan hala tuju Universiti merujuk kepada Pelan Strategik UPM  2021-2025 yang menyokong penerapan nilai murni pada Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang serta kesejahteraan komuniti setempat pada Matlamat ke-3: Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat. - UPM

WXEZWAy~