| Universiti Putra Malaysia

UPM raih 6 Bintang SETARA 2017

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan prestasi tertinggi dengan meraih penarafan 6 Bintang (Gemilang) dalam Penarafan Universiti dan Kolej Universiti Malaysia (SETARA) 2017.

Keseluruhan lapan universiti menerima penarafan 6 bintang dalam kategori ‘Mature University’ (Universiti 16 tahun ke atas) iaitu UPM, UM, USM, UKM, UTM, International Medical University, Universiti Teknologi Petronas dan Monash University Malaysia.

SETARA menilai empat kriteria iaitu Umum sebanyak 40 peratus, Pengajaran dan Pembelajaran (30%), Penyelidikan (20%) dan Perkhidmatan (10%).

Objektif SETARA ialah untuk membantu universiti membina asas yang kukuh dalam tiga fungsi utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan melalui penilaian mengikut metrik kriteria.

Daripada 105 buah universiti dan kolej universiti, hanya 71 layak dinilai dalam SETARA 2017 dan 58 daripadanya mencapai penarafan 4 bintang ke atas.

 

Sijil SETARA disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam Majlis SETARA-2017 di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur hari ini.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato' Dr. Aini Ideris berkata penarafan SETARA penting kerana UPM boleh memperbaiki sebarang kelemahan serta mengambil pendekatan strategik bagi meningkatkan prestasi menyeluruh UPM.

“UPM berpendapat ranking dan penarafan tidak boleh diabaikan kerana ia mempengaruhi persepsi stakeholders seperti pelajar, kerajaan, industri, ibubapa, masyarakat umum, rakan antarabangsa dan lain-lain yang boleh menyumbang kepada reputasi dan menjana pendapatan UPM,” katanya.

 

 

 

SXDdRAM~