| Universiti Putra Malaysia

UPM raih 27 terbaik dunia dan ketiga Asia ranking hijau UI-Greenmetric

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 14 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat sejarah negara apabila tersenarai pada kedudukan ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2017 berdasarkan usaha kelestarian kampus danpengurusan alam sekitarnya.

Keputusan itu juga menjadikan UPM berada pada kedudukan ketiga Asia, kedua Asia Tenggara dan mengekalkan kedudukan pertama dalam negara selama lapan tahun berturut-turut sejak ranking itu diperkenalkan pada tahun 2010.

Penarafan yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran itu berjaya menarik perhatian 619 universiti seluruh dunia untuk menyertainya. Empat universiti Malaysia yang mendapat kedudukan 100 terbaik ialah Universiti Malaya pada kedudukan ke 34, Universiti Malaysia Sabah (37),  Universiti Teknologi Malaysia (66) dan Universiti Universiti Utara Malaysia (83).

Ranking UI-Greenmetric yang menilai usaha kelestarian alam sekitar itu mempunyai lebih daripada 40 indikator meliputi 6 skop utama iaitu keluasan tanah & infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan  iklim (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%). 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris mengulas bahawa kejayaan itu merupakan komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM mencatatkan peningkatan terutamanya dalam indikator pengangkutan dan infrastruktur seperti saiz dan infrastruktur keluasan  tanah hijau selain penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus,” katanya.

Keputusan yang dikeluarkan pada 13 Disember 2017 itu menyaksikan universiti-universiti dari Amerika dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

Pada Mei lalu, usaha UPM memperkasakan kelestarian kampus hijau juga membolehkan UPM memenangi Anugerah Kursi Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan menerima geran berjumlah  RM300,000 untuk tempoh tiga tahun sempena Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau.

Info lanjut.

SXEUKAK~