UPM Raih 17 Terbaik Dunia Dan Terbaik Asia Ranking Universiti UI-Greenmetric | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM Raih 17 Terbaik Dunia Dan Terbaik Asia Ranking Universiti UI-Greenmetric

UPM Raih 17 Terbaik Dunia Dan Terbaik Asia Ranking Universiti UI-Greenmetric

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



SERDANG, 24 Jan 2016 - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat sejarah negara apabila tersenarai pada kedudukan ke-17 ranking terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2015 berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitarnya.

UPM yang membuat lonjakan tertinggi pada tahun 2015 berbanding tempat ke 41 pada tahun sebelumnya turut mencatat sejarah apabila menduduki ranking pertama Asia berbanding kedudukan keempat tahun sebelumnya dalam keputusan yang disiarkan pada 22 Januari lalu.

Penarafan itu berjaya menarik perhatian 407 universiti daripada 66 negara berbanding 360 daripada 62 negara pada tahun lalu. Ranking itu merupakan satu-satunya ranking yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran.

Penarafan kelestarian alam sekitar itu mempunyai lebih daripada 40 indikator yang meliputi 6 skop utama iaitu infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan cuaca (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%). Manakala ranking berdasarkan indikator ataupun subjek pula, UPM berada pada kedudukan pertama di dunia bagi infrastruktur dan ranking ke-9 untuk pendidikan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris mengulas bahawa kejayaan itu merupakan komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM mencatatkan peningkatan terutamanya dalam indikator pengangkutan dan infrastruktur seperti saiz dan infrastruktur keluasan kawasan hijau selain penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus,” katanya.

Universiti-universiti dari Amerika Syarikat dan Eropah mendominasi ranking 16 teratas seperti tempat pertama iaitu University of Nottingham diikuti University of Connecticut, University of California, Davis; University College Cork National University of Ireland dan University of Oxford.

Buat tahun keenam berturut-turut, UPM mengetuai universiti di Malaysia dalam penarafan tersebut mendahului Universiti Utara Malaysia pada kedudukan ke 45 dunia (penyertaan pertama), Universiti Malaya 65 (tahun lalu 72), Universiti Tunku Abdul Rahman 106 (93), Universiti Kebangsaan Malaysia 110 (118), Universiti Teknologi Malaysia 117 (86) dan Universiti Malaysia Sabah 173 (244).

Untuk maklumat lanjut, laporan pencapaian UI GreenMetric World University University Ranking boleh dirujuk melalui : http://greenmetric.ui.ac.id/ranking


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506247932