| Universiti Putra Malaysia

UPM-Politecnico di Torino lancar MICEMS tingkat aktiviti pengantarabangsaan


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 10 Mac
– Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Politecnico di Torino, Itali melancarkan Malaysia-Italy Centre of Excellence for Mathematical Sciences (MICEMS) bagi meningkatkan aktiviti pengantarabangsaan serta kepakaran sains dan matematik di institusi penyelidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata dengan adanya sokongan daripada kerajaan Itali, Malaysia mempunyai platform yang luas untuk penyelidik daripada kedua-dua negara bekerjasama dengan lebih bersistematik.

“Saya berharap MICEMS akan memulakan program berimpak tinggi dengan adanya kerjasama rakan kongsi Itali dan penyelidik tempatan, serta menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama antarabangsa di masa akan datang,” katanya.

Katanya, beliau berbesar hati kerajaan Itali mengiktiraf kepakaran institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia sebagai rakan kolaborasi untuk merealisasikan pusat kecemerlangan sains dan matematik di negara ini.

“Pihak kementerian turut menggalakkan penyelidik tempatan untuk mengambil peluang daripada inisiatif MICEMS bagi membantu meningkatkan penyelidikan tersebut untuk dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.



Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata inisiatif itu bertujuan memperoleh dana penyelidikan antarabangsa bagi memantapkan penyelidikan tinggi antara INSPEM UPM dan Department of Mathematical Science, Politecnico di Torino, Itali.

“MICEMS merupakan institusi yang pertama di Malaysia yang akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang sains matematik seperti struktur algebra, analisis fungsian, fizik matematik, statistik dan aplikasinya dalam industri serta masyarakat,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Duta Besar Itali ke Malaysia, Mario Sammartino dan wakil Rektor Politecnico di Torino, Itali,  Prof. Dr. Lamberto Rondoni, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo dan Pengarah INSPEM, Prof. Dato’ Dr. Kamel Ariffin Mohd Atan.

INSPEM UPM yang mula beroperasi pada 1 April 2002 adalah institusi penyelidikan dalam matematik iaitu bidang Matematik Tulen, Statistik dan Matematik Gunaan, Sains Bermatematik dan Aplikasi serta bidang Pendidikan dan Literasi Matematik. - UPM


WXDdUA2~