UPM-PESMY Tandatangani MoU Kerjasama Pertanian, Ternakan Dan Industri Halal | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM-PESMY tandatangani MoU kerjasama pertanian, ternakan dan industri halal

UPM-PESMY tandatangani MoU kerjasama pertanian, ternakan dan industri halal

Oleh Bello Samira Muhammad
Foto Marina Ismail



SERDANG, Nov 20 – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Panasonic Eco Solutions Malaysia Sdn Bhd (PESMY) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama bagi pengeluaran hasil sinergi dalam bidang pertanian, ternakan dan industri halal.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata UPM dan PESMY akan menganjurkan kumpulan kerja bersama ke arah membangunkan kilang sayur-sayuran, pertanian hidroponik dan ternakan lembu serta pendekatan pengeluaran makanan halal.

“Dengan MoU itu, kami berharap komitmen kita dan PESMY akan dapat mewujdukan model baharu perniagaan melalui pertukaran maklumat pemasaran dan teknikal untuk faedah kedua-dua pihak,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di Bangunan Canselori Putra di sini.



MoU itu ditandatangani oleh Prof Dato’ Dr.Mohd Fauzi bagi pihak UPM, manakala PESMY oleh Pengarah Urusannya, Hiroto Fukui.

Ia disaksikan Ketua Wakil Pejabat Japan International Cooperation Agency (JICA) Malaysia, Kojiro Matsumoto, dan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Yazid Abd Manap yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa), Fakulti Pertanian.

PESMY akan menyediakan kepakaran sewajarnya berkaitan kejuruteraan pembinaan dan kawalan alam sekitar dan akan ditambah baik melalui tenaga pakar dan kemahiran UPM.  

PESMY ditubuhkan pada April 2012 sebagai satu daripada anak syarikat Panasonic Corporation yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, serta memiliki pejabat cawangan di Kulim dan Johor Bahru.  – UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248063