UPM Pertahan Anugerah Harta Intelek Negara | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM pertahan Anugerah Harta Intelek Negara

UPM pertahan Anugerah Harta Intelek Negara

Oleh Hafliza Hussin

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih kemenangan dua tahun berturut-turut mengungguli Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) dan merangkul Emas di Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2017 yang berlangsung di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur pada hari ini.

UPM membawa pulang hadiah kemenangan RM30, 000.00, piala pusingan, piala iringan serta sijil penghargaan daripada Badan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Ini adalah kemenangan kali kelima bagi kategori yang sama sejak tahun 2008.

Selain anugerah tersebut, UPM juga berjaya meraih pingat emas bagi kategori Paten untuk inovasi An Additive for Edible Oil Composition hasil penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Dr. Suhaila Mohamed daripada Institut Biosains UPM dengan memenangi wang tunai RM10,000.00, piala dan sijil penyertaan.

Inovasi ini merupakan formulasi saintifik minyak daripada ekstrak herba semulajadi sebagai bahan penambah minyak masak untuk menggoreng dan mampu mengurangkan penyerapan minyak dalam makanan bergoreng sehingga 85%.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata kejayaan UPM disumbangkan oleh pembangunan satu ekosistem pengkomersilan yang melibatkan pengurusan Harta Intelek bersistematik bermula dengan perlindungan harta intelek hingga ke peringkat pengkomersilannya yang diuruskan oleh Putra Science Park.

“Ekosistem ini membantu untuk memastikan teknologi UPM dapat dikomersilkan di samping mengasah bakat para graduan terpilih sebagai usahawan tekno melalui program Innohub.

“Sehingga kini, UPM telah berjaya menjana pendapatan hampir RM50juta, memfailkan sebanyak 2077 harta intelek dan menghasilkan 40 syarikat permulaan (start-ups).

“UPM juga terlibat secara aktif dalam program kemasyarakatan berimpak tinggi dalam pembangunan sosial negara antaranya PadiU Putra, Kit Bijak Wang dan Putra Blok, “ katanya selepas majlis itu. 

Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) mula diperkenalkan pada tahun 2006 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara anjuran MyIPO, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada perekacipta atau pencipta atas sumbangan harta intelek mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Sebanyak tujuh kategori anugerah dipertandingkan iaitu Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Paten, Cap Dangangan dan Petunjuk Geografi, Reka Bentuk Perindustrian, Hakcipta, dan Perekacipta Harta Intelek dan Perekacipta Muda Harta Intelek. 

Kemaskini:: 24/07/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511347757