UPM- National Cheng Kung University, Taiwan Rintis Usaha Kerjasama Penyelidikan Pembiakan Ikan Dan Udang Marin | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM- National Cheng Kung University, Taiwan rintis usaha kerjasama penyelidikan pembiakan ikan dan udang marin

UPM- National Cheng Kung University, Taiwan rintis usaha kerjasama penyelidikan pembiakan ikan dan udang marin

Oleh: Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG, 18 April - Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah merintis usaha penyelidikan dengan National Cheng Kung University (NCKU) Taiwan dalam bidang pembiakan ikan dan udang marin.

NCKU yang mempunyai teknologi tinggi dalam menghasilkan stok induk udang harimau bebas penyakit dan teknologi pembiakan dan pembenihan spesies ikan kerapu bernilai tinggi mementerai perjanjian persefahaman (MoU) dengan UPM bagi penyelidikan kolaboratif untuk meningkatkan intensiti penyelidikan akuakultur di I-AQUAS dalam bidang baharu.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata melalui kerjasama penyelidikan itu, aspek perkongsian dan pemindahan kepakaran serta teknologi dan latihan akan melonjakkan prestasi penyelidikan institut penyelidikan yang baharu dinaiktaraf ini iaitu I-AQUAS dan industri akuakultur negara amnya.

“UPM sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi tahap penyelidikan dalam bidang pertanian dan melalui MoU ini, kedua-dua universiti dapat memanfaatkan perkongsian ilmu dan teknologi. UPM berharap National Cheng Kung University akan menjadi rakan strategik penyelidikan bidang pertanian di UPM yang utama dengan akuakultur dan sains akuatik sebagai permulaaannya.

“Inisiatif ini adalah atas aspek visibiliti UPM yang mana merupakan universiti penyelidikan utama berteraskan pertanian dan menawarkan bidang akuakultur di bawah Fakulti Pertanian, seiring dengan fokus NCKU dalam penyelidikan akuakultur,” kata Prof. Aini.

Beliau berkata inisiatif ke arah penjanaan dana kerjasama melalui melalui program ‘Taiwan’s New Southbound Project’ akan cuba diusahakan bagi kedua pihak terutamanya dengan perjanjian persefahaman UPM -NCKU.

“Antara rangka pelan perlaksanaan adalah menyediakan platfom bagi penyelidik I-AQUAS untuk mendapat latihan dan pengetahuan teknologi baru bidang akuakultur dengan penyelidik di Kolej Biosains dan Bioteknologi NCKU. Skop lain yang juga boleh dimanfaatkan adalah pertukaran staf teknikal dan mobiliti pelajar bagi latihan teknikal juga akan turut dilaksanakan,” kata Prof. Aini.

Presiden NCKU, Prof. Huey-Jen Su berkata MoU itu membuktikan Taiwan mengiktiraf UPM sebagai rakan penyelidik strategik antarabangsa dalam projek penyelidikan akuakultur kesihatan ikan.

“NCKU berada pada ranking 222 QS World University Rankings dan merupakan universiti awam Taiwan yang menjalankan program berteraskan pertanian termasuk akuakultur. Hasil penyelidikan universiti telah banyak diterapkan dalam pembangunan industri pertanian dan juga akuakultur di negara Taiwan, “ katanya.

Beliau menambah sektor perikanan terutamanya akuakultur adalah merupakan sektor ekonomi berteraskan pertanian yang penting dan utama bagi negara Taiwan dan memainkan peranan utama sebagai peneraju utama dalam kemantapan sekuriti makanan negara di samping membekalkan sumber protein kepada rakyatnya.

 

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani oleh Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dan Prof. Huey-Jen Su. Turut hadir Pengarah I-AQUAS, Prof. Dr. Aziz Arshad. – UPM

 

 

 

 

Tarikh Input: 23/04/2018 | Kemaskini: 23/04/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537844488