| Universiti Putra Malaysia

UPM, MVP meterai perjanjian untuk komersial vaksin baharu sampar ayam

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Marina Ismail

 

SERDANG, 30 Dis: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan syarikat Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals Sdn Bhd (MVP) memeterai perjanjian pelesenan (licensing agreement) untuk MVP mengkomersialkan inovasi vaksin generasi baharu bagi mengawal penyakit sampar ayam (Newcastle Disease) yang menyerang ayam komersial.

Perjanjian itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Idrus, manakala MVP oleh Pengarah Eksekutif, Puan Rashidah Ibrahim. 

Ia disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon; Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris; dan pengerusi MVP, Dato’ Dr. Mhd Nordin Mohd Nor.

Projek inovasi vaksin generasi baharu itu diketuai Prof. Dr. Abdul Rahman Omar dari Institut Biosains (IBS) dan Fakulti Perubatan Veterinar UPM.

Prof. Dr. Abdul Rahman berkata, ujian yang dijalankan oleh IBS dan MVP mendapati vaksin itu stabil, tidak mempunyai kesan sampingan dan selamat digunakan pada ayam berumur satu hari.

“Anak ayam yang disuntik sekali dengan vaksin ini menghasilkan paras antibodi yang tinggi selepas tiga minggu, yang memberikan perlindungan menyeluruh daripada cabaran penyakit serta pembebasan virus ND genotip VII virulen. (virulent genotype VII ND virus),” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Dr. Ghauth berkata, perjanjian itu membolehkan penyelidikan di makmal diperkembangkan dan hasilnya dimanfaatkan untuk pasaran serta masyarakat.

Katanya, pembangunan dan kemajuan vaksin tempatan juga akan boleh mengurangkan kebergantungan kerajaan terhadap vaksin haiwan yang diimport.   

Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini pula berkata, penyakit ND amat mudah merebak yang menyebabkan kerugian ekonomi yang besar kepada industri ternakan ayam di seluruh dunia.

Justeru, katanya, perjanjian yang ditandatangani itu akan memberikan manfaat serta faedah sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Dato’ Dr. Mhd Nordin pula berkata MVP akan mengkomersialkan vaksin itu dan berharap ia akan menjadi satu daripada produk komersial vaksin UPM yang paling laris jualannya. - UPM

 

WXESMA~