UPM-MNS Meterai Kerjasama Pemuliharaan Alam Sekitar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM-MNS meterai kerjasama pemuliharaan alam sekitar

UPM-MNS meterai kerjasama pemuliharaan alam sekitar

Oleh: Norazlin Mustapha

Foto oleh: Marina Ismail

 

SERDANG, 6 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menjalin kerjasama ke arah melestarikan pemuliharaan alam sekitar negara.

Kerjasama itu menggalakkan kakitangan bukan akademik dan siswazah UPM untuk aktif menjadi sukarelawan dalam aktiviti yang dianjurkan MNS.

Naib Canselor, UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris berkata kerjasama itu akan menggalakkan UPM dan MNS meningkatkan lagi kerjasama sedia ada.

“Ini merangkumi penyelidikan secara menyeluruh dalam bidang sumber asli, perhutanan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS), UPM dilantik sebagai peneraju dalam mengukuhkan kerjasama itu bagi pihak universiti

Presiden MNS, Prof. Dr. Ahmad Ismail pula berkata, MNS menggalakkan serta membuka peluang kepada pelajar UPM untuk menjalani latihan industri serta aktiviti kesukarelawan bersama dengan MNS bagi memperkukuhkan ilmu kelestarian alam sekitar.

“Galakan itu boleh meningkatkan kecekapan pentadbiran, selain dapat bertukar-tukar idea terutamanya dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan sumber asli, perhutanan dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama UPM dan MNS berlangsung dengan jayanya melalui   penganjuran aktiviti terutamanya dalam mempromosikan pendidikan berteraskan konsep memulihara alam sekitar dan biodiversiti.

Antara aktiviti bersama yang dijalin ialah kolaborasi dalam penyelidikan dan penerbitan bersama MNS melalui Dana Penyelidikan Japan Society for the Promotion of Sciences (JSPS)-Asian Coastal Research (ACORE).

 

UPM menjadi pelopor Kelab Pencinta Alam (KPA) for Youth pada 2012 yang kemudian dibuka kepada seluruh warga universiti di Malaysia. UPM juga menjadi tuan rumah program Youth Environmental Expo (YEE) pada November 2012 dan Disember 2018.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman; Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MNS, AR John Koh Seng; dan Pengarah Eksekutif MNS, I.S Shanmugaraj. - UPM

Tarikh Input: 11/03/2019 | Kemaskini: 11/03/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563456842