| Universiti Putra Malaysia

UPM menangi tempat ketiga Pertandingan Simulasi Perniagaan IPTA Kebangsaan

Oleh: Mazlina Ismail

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Syarikat Farmlah yang dianggotai lima pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi tempat ketiga Pertandingan Simulasi Perniagaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) peringkat Kebangsaan 2021.

Kumpulan itu dianggotai Ali Imran sebagai CEO, Hoh Jia Da (CFO), Muhammad Muqriz Adam Shah (COO), Marcus Edward (CMO) dan Nazrul Irfanradi (CHRO)

Mereka membawa pulang wang tunai RM3,000 serta plak dan sijil. Hadiah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Pertandingan itu merupakan kali keempat dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi dan mula dilaksanakan pada 2013.

Ali berkata beliau bersama ahli kumpulan telah menghasilkan produk hidroponik menggunakan sistem IOT bagi memudahkan proses penanaman terutama di kawasan bandar.

“Simulasi perniagaan ini memberi pengalaman berharga kepada kami kerana berpeluang menjalankan perniagaan sebenar dan berinteraksi bersama pelabur yang berminat untuk produk yang dihasilkan di dalam pertandingan ini,” katanya.

Pertandingan dijalankan secara atas talian selama tiga bulan yang melibatkan 19 IPTA di seluruh negara. Pertandingan itu dapat meningkatkan atribut dan kemahiran keusahawanan seperti pengurusan risiko, pengurusan personel dan kewangan.

Selain itu, kemahiran insaniah, penyelesaian masalah, kepemimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, serta moral dan etika profesional para peserta turut dapat diperkasakan. - UPM

WXEUMAt~