UPM Menang Hadiah Utama Anugerah Harta Intelek Negara 2016 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM menang hadiah utama Anugerah Harta Intelek Negara 2016

UPM menang hadiah utama Anugerah Harta Intelek Negara 2016

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Saleha Haron



KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi hadiah utama kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2016 hari ini, kemenangan keempat kategori itu oleh UPM sejak AHIN diperkenalkan pada 2006.

UPM menerima RM30,000, piala pusingan, piala iringan, Piala WIPO (World  Intellectual Property Organisation), dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila.

Datuk Seri Hamzah mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.



PM sebelum ini pernah memenangi hadiah serupa pada tahun 2008, 2012 dan 2014.

Pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2016 ini yang bertemakan “Transformasi Negara melalui Harta Intelek”, UPM juga tersenarai dalam finalis bagi kategori Reka Bentuk Perindustrian.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), kategori Paten, kategori Cap Dagangan & Petunjuk Geografi, kategori Reka Bentuk Perindustrian, kategori Hak Cipta, kategori Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau setaraf) dan kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).

AHIN diperkenalkan sempena Hari Harta Intelek Negara bertujuan memberi pengiktirafan kepada perekacipta atau pencipta atas sumbangan harta intelek mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Ia juga untuk menggalakkan lebih banyak ciptaan dan inovasi serta memupuk budaya harta intelek di kalangan rakyat.

Prof Dato’ Dr. Mohd Azmi ketika ditemui selepas majlis itu berkata,UPM sentiasa berusaha dan membantu industri, sekolah dan seumpamanya berkaitan pengurusan cekap Harta Intelek.

“Sekarang kita melatih pihak-pihak yang berkenaan dalam pengurusan IP yang lebih baik,” katanya sambil melahirkan terima kasih dan penghargaan kepada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, para penyeldik dan staf universiti. - UPM    


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511014159