UPM Mampu Tarik Lebih Ramai Pelajar Luar Negara: Radik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM mampu tarik lebih ramai pelajar luar negara: Radik

UPM mampu tarik lebih ramai pelajar luar negara: Radik

Oleh Azman Zakaria

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 2 Mei -  Radik Srazhidinov dari Rusia, yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana dalam tempoh dua semester di Universiti Putra Malaysia (UPM), percaya UPM mampu melonjakkan lagi nama di peringkat antarabangsa serta menarik lebih ramai pelajar luar negara.

“Malaysia aman dan damai. Daripada segi pendidikan, ia tempat yang menarik dan bagus untuk belajar.

“Saya tidak berdepan masalah besar ketika menuntut di sini… pelajar tempatan mudah mesra, baik dan mudah berkomunikasi dengan mereka,” katanya dalam temubual.

Radik dari etnik Kyrgyz dan lahir di Vorkuta City, Rusia mengikuti pengajian peringkat Bacelor di Fakulti Kejuruteraan UPM dari 2011 hingga 2015, sebelum melanjutkan pengajian peringkat Sarjana pada 2015-2016. Beliau berjaya menyiapkan tesisnya dalam masa lapan bulan.

Menurutnya, pada semester pertama pengajian peringkat Bacelor, beliau mengambil lebih 20 kredit matapelajaran kerana menjangkakan tahap pengajian di UPM adalah mudah tetapi keputusan peperiksaan tidak seperti diharapkannya.

 

 

Selepas itu beliau belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh the GPA 3.95 pada semester ketujuh dan disenaraikan dalam Senarai Dekan.

Ketika pengajian peringkat ‘Masters in Control System Engineering’, beliau memperoleh pencapaian CGPA 4.0 dan tesis yang dilakukan ialah membangunkan prototaip ‘Active Noise Control.’  Prototiap itu yang boleh mengurangkan bunyi bising sebanyak 80 peratus telah mendapat paten antarabangsa melalui penyelianya Prof Madya Dr. Raja Kamil.

Semasa di UPM, beliau muncul juara catur antara kolej selama tiga tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, untuk lebih memudahkan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di Malaysia, pihak yang berkaitan dengan pengurusan visa perlu mempermudahkan urusan pengeluaran visa berkenaan. UPM pula perlu meningkatkan mutu perkhidmatan basnya.

Radik telah ditawarkan biasiswa dan akan melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Hong Kong University of Science and Technology bermula 1 Jun ini. – UPM

Kemaskini:: 08/05/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860505