| Universiti Putra Malaysia

UPM lonjak pendidikan pertanian negara ke peringkat antarabangsa

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto oleh Marina Ismail


Tuanku Canselor bersama pemenang Hadiah Universiti


SERDANG – Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan kejayaan bidang pertanian, perhutanan dan pendidikan UPM meraih kedudukan 51-100 terbaik dunia oleh QS World University Ranking 2014 melonjakkan pendidikan pertanian Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini menepati asas penubuhan UPM bagi menerajui bidang pendidikan pertanian dan berkaitan pertanian negara. Beta berharap kedudukan ini menjadi indikator kepada kerajaan mengoptimumkan sumber kepakaran dan ilmu universiti ini untuk memacu kecemerlangan Malaysia ke tahap lebih cemerlang.

“UPM telah memperkukuh strateginya melalui Putra Global 200 untuk meraih kedudukan 200 universiti terbaik dunia dan 30 terbaik dunia dalam bidang pertanian,” baginda bertitah pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-38 UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.


Sultan Sharafuddin mengurnikan Ijazah Kehormat kepada Dato’ Sri Abdul Wahab Maskan


Sultan Sharafuddin mengurniakan ijazah doktor falsafah (Ph.D), sarjana (Master), bacelor dan diploma kepada graduan pada hari pertama (1 November, sesi pertama) dan hari kedua (2 November, sesi ketiga) pada Majlis Konvokesyen UPM yang berlangsung dari 1 hingga 4 November 2014.

Dalam titahnya, baginda turut gembira apabila UPM meningkat pencapaiannya kepada kedudukan 376 universiti terbaik dunia QS World University Ranking 2014 daripada hampir 20,000 institusi pengajian tinggi di dunia baru-baru ini.

Sultan Sharafuddin berharap wujud pembangunan lestari di UPM mencakupi kelestarian sumber alam dan persekitaran, sosial, ekonomi, politik, budaya kesarjanaan dan budaya ketimuran yang kaya dengan peradaban tinggi.


Sultan Sharafuddin mengurnikan Anugerah Profesor Emeritus kepada Dato Dr Makhdir Mardan


“Beta gembira langkah universiti menubuhkan Institut Sekuriti Makanan dan Institut Kajian Perladangan untuk menangani permasalahan negara dalam bidang sekuriti makanan dan industri perladangan yang merupakan antara bidang utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Kedua-dua institut ini berperanan penting dalam penghasilan penyelidikan yang berimpak tinggi dalam sekuriti makanan dan sektor perladangan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah pelancaran pelan strategik UPM 2014 dan melangkau 2020 adalah bagi menempatkan UPM sebagai sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

“Ia adalah bagi menyahut seruan kerajaan yang meminta UPM menerajui pendidikan pertanian ke tahap yang lebih tinggi supaya penemuannya boleh diguna untuk kepentingan umum,” titah baginda.


Baginda mengurniakan skrol Ph.D kepada Puan Norasmat Hasan iaitu balu kepada graduan Allahyarham Dr. Hazril Azmin Saari yang meninggal dunia kerana kanser


Baginda turut gembira apabila UPM memperoleh status MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practices) untuk Sektor Ternakan bagi lembu tenusu, lembu pedaging dan kambing pedaging yang membolehkan UPM menghasilkan produk ternakan berkualiti dan selamat dimakan.

“Pelaksanaan MyGAP ini juga akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan meningkatkan daya saing UPM sebagai penandaarasan dengan skim pensijilan GAP antarabangsa seperti ASEAN GAP dan GlobalGAP,” titah baginda.

Majlis Konvokesyen selama empat hari itu menyaksikan seramai 6,116 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 391, Ijazah Sarjana (Master) seramai 2,123, Bacelor (3,380) dan Diploma (222). 

Pada majlis tersebut, UPM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perladangan kepada Dato’ Seri Abdul Wahab Maskan pada pada 1 November 2014 serta Ijazah Kehormat Master Persuratan, Dato’ Aripin Said  dan Ijazah Kehormat Master Sains, Megawati Suzari pada sesi kedua pada sebelah petang.



Baginda turut menyampaikan Anugerah Profesor Emeritus kepada Dato’ Dr. Makhdzir Mardan dan mengurniakan Hadiah Universiti iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashadan Baba dan Pingat Putra Agribio kepada Anna Arina Ab. Halim daripada program Bacelor Sains Pertanian dan Hadiah Pingat Emas Pelajaran Diraja kategori Bumiputera kepada Ana Masara Ahmad Mokhtar daripada program Bacelor Sains (Sains Bioperubatan) dan bagi bukan Bumiputera, Sugentiran a/l Mane daripada Bacelor Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian).

Pingat lain universiti yang disampaikan baginda ialah Pingat Emas Alumni kepada Ong Chia Lin (Doktor Perubatan Veterinar),  Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Faslina Habeeb Mohd (Bacelor Sains Komputer), dan Hadiah Syed Kechik kepada Nor Amira Mohamad (Bacelor Sastera (Bahasa Asing) Pengkhususan Bahasa Arab).


Wakil pelajar, Anna Arina Ab. Halim yang merupakan pemenang Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashadan Baba dan Pingat Putra Agribio.memberikan ucapan wakil graduan pada sesi pertama


Dua hadiah universiti yang baharu iaitu Hadiah Pingat Emas Doktor Falsafah dimenangi oleh Ir. Mohammad Effendy Yaacob (Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan) dan Hadiah Pingat Emas Master dengan Tesis, dimemangi oleh Loo Yuet Ying (Master Sains Keselamatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan).


WXDdPAh~