| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar Projek Buku Audio untuk OKU Penglihatan

Oleh: Nur Zila Zainuddin

 

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Projek Buku Audio bagi membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan yang memerlukan bahan bacaan untuk merangsang perkembangan mental, ilmu dan minat membaca.

 

Projek Buku Audio yang telah dilancarkan oleh Presiden Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia, Muhammad Huzaifah Ahmad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini ialah aplikasi pembacaan teks kepada golongan OKU penglihatan melalui audio.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata Projek Buku Audio itu diharapkan terus maju seiring perkembangan teknologi dan keperluan orang kurang upaya.

“Aplikasi ini juga merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kemampuan OKU melalui teknologi maklumat dan bercirikan mesra OKU penglihatan, dengan fungsi arahan suara dan teknik penggunaan 'swipe' dan 'tap' yang mudah,” katanya.

 

Projek Buku Audio itu dilaksanakan oleh Pusat Pengurusan Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dengan kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSTM) UPM.

 

Turut hadir dalam majlis itu ialah Dekan FSTM, Prof. Dr. Abu Bakar Md. Sultan, pensyarah FSTM, Dr. Puteri Suhaiza Sulaiman, wakil WAZAN, Zuhaimi Abdul Rahim, wakil Media Prima (TV3) Ally Iskandar dan Presiden Spinal Muscular Atrophy Malaysia, Siti Sapura Jaapar. - UPM

WXETVA~