UPM Lancar Kempen Kesedaran Bandar Biomas Serdang. | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM lancar kempen kesedaran Bandar Biomas Serdang.

UPM lancar kempen kesedaran Bandar Biomas Serdang.


SERDANG, 5 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan Kempen Kesedaran Bandar Biomas Serdang untuk masyarakat Serdang di Auditorium Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan UPM.

Projek berkonsepkan teknologi hijau itu kali pertama dilancarkan di Malaysia untuk memperbaiki sistem pelupusan sisa pepejal kepada sisa organik bagi mewujudkan kualiti udara yang bersih dan bebas pencemaran.

Projek itu terbahagi kepada empat bahagian antaranya biogas (tenaga elektrik), biodiesel (bahan bakar), biokompos (baja) dan biochar.


Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata UPM akan memberi komitmen sepenuhnya dalam usaha kerajaan membina persekitaran dan pembangunan bandar yang lestari selaras dengan misi universiti.

“Projek ini adalah inisiatif penyelidik UPM melaksanakan peyelidikan yang diperlukan melalui data penyelidikan dan pembangunan (R&D), mengadakan kajian semula tentang kelestarian kaedah yang digunakan oleh industri dan transformasi kepada teknologi hijau yang mesra alam.

“Kami percaya Kempen Kesedaran Bandar Biomas Serdang ini dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama antara UPM dan MPSJ diharap mampu mengkomersialkan teknologi termasuk penghasilan mesin khas memproses sampah,”katanya.



Program itu melibatkan kerjasama UPM dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia(MARDI).

Projek kepakaran UPM yang diketuai oleh Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Prof. Mohd Ali Hassan bersama Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun itu pernah berjaya mengkomersialkan projek biogas di Felda Serting Hilir, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Dato’ Dr. Nadzri Yahaya berkata 45% sisa makanan yang dijana oleh masyarakat dilupuskan di tapak-tapak pelupusan tanpa sebarang rawatan.

“Sisa yang mereput akan menghasilkan air larut resap yang boleh mencemar sumber air sungai dan sumber air dalam tanah.

“Salah satu kaedah ialah dengan mewujudkan bandar-bandar biomas supaya sisa organik yang dijana boleh digunakan semula untuk menghasilkan tenaga dan sebagainya.

“Sebanyak RM1.5 juta peruntukan telah disediakan oleh kerajaan untuk showcase kaedah rawatan seperti pengkomposan, Anaerobic Digester dan loji biodiesel,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menumpukan kepada rawatan sisa pepejal sebelum pelupusan disamping manaiktaraf atau menutup selamat tapak pelupusan tidak sanitari sedia ada.

Statistik menunjukkan bahawa terdapat 176 buah tapak pelupusan yang beroperasi, dan dari jumlah tersebut hanya lapan yang boleh dikategorikan sanitari yang lain kebanyakannya tapak pembuangan terbuka tanpa kemudahan rawatan air larut resap.

Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM merangkap ketua projek, Prof. Dr. Mohd Ali Hassan mensasarkan tempoh tiga tahun bagi melaksanakan projek itu yang sudah berjaya di Jepun.

“Kempen yang berterusan akan dijalankan bagi meyakinkan orang ramai mengenai keberkesanan projek ini dan memberitahu pentingnya bahan buangan yang dikitar semula dan dijadikan bahan organik.

“Projek yang rancak dijalankan ini diharapkan mendapat kerjasama dan sokongan meluas daripada semua pihak yang merupakan aspek paling penting untuk memastikan keberkesanan program,” katanya.

Pengeluaran biogas daripada bahan organik sisa pepejal boleh digunakan bagi menjana tenaga elektrik, sementara itu penggunaan tinja haiwan ternakan dan sisa hijau dari kawasan masyarakat boleh diekplotasi bagi pengeluaran biokompos dan mengolah minyak masak terpakai kepada biodiesel.

Penduduk serta peniaga yang mengamalkan projek pengasingan sisa makanan akan menerima baja kompos percuma.  Manakala bagi yang mengamalkan projek kitar semula minyak masak terpakai akan menerima insentif (wang) mengikut kuantiti minyak masak terpakai yang berjaya dikumpulkan.

Turut hadir pada kempen itu ialah Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Asmawi Kasbi, wakil kedutaan Jepun, Shun Ogawa dan Recycle One Inc, Daisuke Tsujimoto.

Berita ini disunting oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) ( Syifarida Muhamad Zaki, 03-89466154), Photo (Noor Azreen Awang, 03-89466199)



Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563508184