| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar buku ‘Kaedah Interpretasi dalam Pengajaran Pendidikan Alam Sekitar'


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 25 Februari  - Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan sebuah buku berkenaan penggunaan interpretasi sebagai kaedah pengajaran yang memfokuskan kepada pendidikan alam sekitar.

Buku yang ditulis oleh dua pensyarah fakulti itu, Prof. Madya Dr. Manohar Mariapan dan Dr Evelyn Lim Ai Lin itu ialah hasil penyelidikan ‘Mengkaji Keberkesanan Program Pendidikan Alam Sekitar dalam Mempengaruhi Hubungan Manusia-Hidupan Liar di Kalangan Murid-Murid Sekolah Menengah’.



Prof. Madya Dr. Manohar berkata berkata buku tersebut memberi pengenalan kepada penggunaan interpretasi sebagai alat komunikasi persuasif yang boleh digunakan dalam pengajaran pendidikan alam sekitar dan juga pelbagai subjek di sekolah.

“Model interpretasi EROT (enjoyable, relevant, organized dan thematic) digunakan dalam proses merancang serta mereka bentuk program pendiidkan alam sekitar dalam mempengaruhi pelajar sekolah untuk menyokong usaha konservasi haiwan-haiwan liar melalui penglibatan mereka sebagai penganjur program pendidikan alam sekitar berkenaan haiwan liar di sekolah,” katanya.



Tambah beliau, teknik interpretasi merupakan satu kaedah pengajaran yang diamalkan dalam bidang rekreasi di kawasan semula jadi di negara-negara maju bagi mempengaruhi tingkah laku pelawat agar terlibat dalam usaha konservasi di kawasan semula jadi.

“Penerbitan buku ini merupakan usaha pertama untuk memperkenalkan penggunaan interpretasi sebagai satu kaedah pengajaran pendidikan alam sekitar di kalangan pendidik alam sekitar,” katanya mengenai buku yang mendapat pingat emas dalam Pameran Rekacipta Penyelidikan Inovasi (PRPI) anjuran UPM pada tahun lalu.

Dr. Manohar berkata keunikan buku tersebut turut menggunakan pengaruh emosi dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya penyampaian maklumat menjadi lebih bermakna dan relevan kepada pelajar.



“Kulit buku ini turut mempunyai elemen interpretasi penting dengan penggunaan keseluruhan deria penglihatan, pendengaran, hidu rasa dan sentuhan untuk memperkayakan pengalaman serta memastikan maklumat yang disampaikan mempunyai makna kepada audiens.

“Dalam konteks kulit buku ini, semua deria perlu digunakan untuk mengesan, mengecam dan memerhati mentadak ini bagi memahami dalam menentukan kelangsungan hidup mentadak serta keseimbangan ekologi habitatnya,” katanya.

Rakannya, Dr Evelyn Lim berkata beberapa siri eksperimen yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada tahun 2012 hingga 2014.

“Seramai 600 pelajar sekolah menengah telah menunjukkan penggunakan interpretasi proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih relevan kepada pelajar,” katanya.

Buku itu diterbitkan untuk guru-guru sekolah oleh Fakulti Perhutanan UPM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Sementara itu, buku tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Kementerian Pendidikan Malaysia , Dato’ Khairi Awang di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), UPM pada 14 Februari lalu.

Pada majlis pelancaran itu, bengkel guru pertama iaitu Bengkel Koordinator Pendidikan turut dianjurkan melalui Projek Kelab Pencinta Alam MNS bagi menggalakkan penggunaan interpretasi sebagai satu demensi baharu dalam proses pembelajaran pendidikan alam sekitar sama ada di sekolah mahupun di luar sekolah. - UPM


Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Marina Ismail

SXDdUA~