UPM Komited Pastikan Inovasi Beri Manfaat Kepada Masyarakat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM komited pastikan inovasi beri manfaat kepada masyarakat

UPM komited pastikan inovasi beri manfaat kepada masyarakat

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 16 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa komited memastikan setiap idea inovasi yang dihasilkan di universiti dapat memberikan kembali manfaat kepada masyarakat.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, sehingga kini UPM telah melesenkan 115 harta intelek dengan nilai jualan kasar RM55.75 juta.

“Angka itu merangkumi kira-kira lima peratus daripada jumlah hasil intelek universiti, dan telah mencapai sasaran piawaian antarabangsa. Beberapa produk inovasi UPM turut berjaya menembusi pasarandi lapan buah negara,” katanya pada majlis penutupan Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2016, di sini.

Lebih 200 penyelidikan berimpak tinggi UPM dalam pelbagai bidang dipamerkan pada PRPI 2016 itu yang diadakan pada 15 dan 16 November.

PRPI 2016 yang bertemakan “Pertanian, Inovasi, Kehidupan” itu bertujuan menyediakan platform bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UPM yang telah mempunyai perlindungan harta intelek.

Ia juga bagi membuka peluang pasaran dan jaringan kepada industri, pemberi dana dan umum, serta sebagai medan saringan kepada penyelidikan di UPM sebelum layak untuk menyertai pertandingan penyelidikan di peringkat lebih tinggi.

Prof Datin Paduka Dr Aini berkata penganjuran PRPI itu bertepatkan dengan inisiatif kerajaan mengisytiharkan tahun 2016 sebagai tahun pengkomersilan produk inovasi dalam pelbagai bidang untuk dipasarkan di peringkat global.

“Dalam era k-ekonomi kini, peranan penyelidik dalam penjanaan impak kepada pembangunan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kritikal, dan harus diperkasa selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Melalui platform seperti PRPI ini, usaha memperkasa penyelidik melalui koloborasi strategik dan penyebarluasan hasil inovasi diharap dapat membentuk rantaian nilai komersil yang lestari dan produktif,” katanya.

Sempena majlis itu, diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berhubung penubuhan ‘Technology Innovation Support Centers ‘ (TISC).

Beliau berkata, projek itu bertujuan memudahkan carian maklumat dan meningkatkan kefahaman masyarakat setempat serta kumpulan sasaran terhadap harta intelek yang seterusnya dapat memajukan bidang harta intelek negara.

Prof Datin Paduka Dr Aini turut menyampaikan Anugerah Penyelidikan Universiti bagi kategori Pusat Tanggungjawab dan kategori Penerbitan Makalah Jurnal, serta Anugerah PRPI 2016. - UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112348