UPM Ke 36 Universiti Terbaik Asia, Lonjakan 13 Anak Tangga | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM ke 36 universiti terbaik Asia, lonjakan 13 anak tangga

UPM ke 36 universiti terbaik Asia, lonjakan 13 anak tangga

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 17 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengukuhkan kedudukan ke-36 universiti terbaik di Asia dalam ‘QS Asia Universiti Ranking 2018’ dengan membuat lonjakan 13 anak tangga.

UPM juga mengekalkan kedudukannya sebagai universiti kedua terbaik negara ini selepas Universiti Malaya dalam ranking itu sejak dua tahun berturut-turut.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata pencapaian terbaik UPM dalam ranking itu ialah indikator pensyarah berkelulusan PhD tertinggi dalam negara.

“Selain itu, UPM mendapat skor kedua tertinggi Malaysia bagi indikator pertukaran pelajar keluar masuk (inbound dan outbound).

“Prestasi UPM juga disumbangkan oleh lima indikator yang berada pada kedudukan 50 terbaik Asia iaitu Academic Reputation, International Faculty, International Students, Inbound Exchange Students dan Outbound Exchange Students.

Prof Aini berkata ranking ke-36 Asia itu menjadikan UPM dalam kelompok satu peratus universiti terbaik di Asia kerana terdapat 11,900 universiti di Asia.

Mengikut ranking itu yang beroperasi di United Kingdom, sebanyak 27 institusi pengajian tinggi di Malaysia tersenarai dalam Top 250 Universiti terbaik Asia.

UPM mula melonjak dalam ranking QS Asia bermula pada ranking 2014 (kedudukan ke-76), 2015 (66) dan pada tahun lalu 2016 (49).

Prof. Aini berkata dengan lonjakan tersebut, UPM komited untuk memperkukuhkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikannya ke arah universiti bereputasi antarabangsa.

"Pencapaian ini, diharapkan dapat membantu meningkatkan lagi kecemerlangan UPM yang pada akhirnya akan memberikan sumbangan yang bermakna bagi kemajuan masyarakat dan kesejahteraan negara," katanya.

Kemaskini:: 17/10/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1531786505