| Universiti Putra Malaysia

UPM ke 34 universiti terbaik Asia, 2 terbaik negara

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG, 25 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengukuhkan kedudukan ke-34 universiti terbaik di Asia dalam ‘QS Asia Universiti Ranking 2019’ dengan membuat lonjakan 2 anak tangga.

UPM juga mengekalkan kedudukannya sebagai universiti kedua terbaik negara ini selepas Universiti Malaya dalam ranking itu sejak 3 tahun berturut-turut.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata pencapaian terbaik UPM dalam ranking itu ialah kecemerlangan dalam pengantarabangsaan.

“Kami mencapai markah yang tinggi untuk indikator pertukaran pelajar (inbound dan outbound). Skor lain yang lebih tinggi ialah petunjuk pengantarabangsaan seperti jaringan penyelidikan Antarabangsa, Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa.

“Inisiatif berterusan UPM meningkatkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program telah menghasilkan peningkatan dalam petunjuk pengantarabangsaan,” katanya.

Prof. Aini berkata komitmen berterusan UPM memperkukuhkan jaringan antarabangsa telah menarik pelajar, penyelidik, dan kakitangan akademik antarabangsa.

Beliau berkata penambahbaikan ranking juga berikutan usaha dan sokongan berterusan pasukan staf pelbagai peringkat mengadaptasikan budaya kecemerlangan, kemampanan dan integriti di UPM.

Prof. Aini berkata UPM akan memfokuskan beberapa inisiatif seperti berikut:

  1. Mengukuhkan kerjasama penyelidikan dengan industri, masyarakat dan rakan kongsi antarabangsa. Meningkatkan bilangan rakan kongsi kebangsaan dan antarabangsa.
  2. Meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan berimpak tinggi.
  3. Meningkatkan kuantiti dan kualiti penerbitan penyelidikan.
  4. Menggalakkan penjenamaan universiti dan penglihatan
  5. Meningkatkan persekitaran dan kemudahan pengajaran

“Prestasi dalam ranking penting kerana ranking boleh menjadi penanda aras pencapaian universiti secara global dan bermakna ke arah pendidikan tinggi yang lebih baik.

“Peningkatan tahun ini memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk pendapat dan persepsi pihak berkepentingan (pelajar, agensi kerajaan, industri, ibu bapa, orang awam dan rakan kongsi antarabangsa) yang boleh membawa kepada reputasi positif dan penjanaan pendapatan untuk UPM,” kata Prof. Aini. - UPM

 

 

WXDdBAl~