| Universiti Putra Malaysia

UPM ke-15 terbaik dunia Ranking QS TOP 50 UNDER 50

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 14 Jul - Universiti Putra Malaysia (UPM) tersenarai pada tangga ke-15 terbaik dunia dan pertama negara dalam ranking ‘QS Top 50 under 50’ pada tahun ini anjuran Quacquarelli Symonds (QS).

Peningkatan dua anak tangga berbanding tangga ke-17 pada tahun lalu mengulangi pencapaian UPM sebagai universiti berusia bawah 50 tahun terbaik Malaysia sejak tahun lalu selain meraih kedudukan ketujuh terbaik universiti di Asia dan kedua terbaik ASEAN.

Universiti Malaysia lain yang tersenarai ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-16) Universiti Teknologi Malaysia (21) Universiti Sains Malaysia (23), Universiti Teknologi Petronas (kelompok ke 91-100), Universiti Utara Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (101-150).

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, sebagai universiti bereputasi antarabangsa, ranking QS secara langsung dapat membantu menilai tahap visibiliti UPM terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.

Penilaian ‘QS Top 50 under 50’ itu menggunakan enam indikator yang sama seperti penilaian ‘QS World University Ranking’ iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Student to Faculty Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International Students (5%).

Terdahulu pada 8 Jun lalu, UPM memperkukuhkan kedudukan ke-229 universiti terbaik dunia, ke-49 Asia dan keempat ASEAN dalam QS World University Rankings 2017/2018 di mana UPM membuat lonjakan paling tinggi antara semua universiti Malaysia sebanyak 182 tangga sejak tahun 2013/2014.

SXDdKAx~