| Universiti Putra Malaysia

UPM juara Kejohanan Memanah Program Kecemerlangan Sukan UNISZA

Oleh: Shahrulnizar Nurhalim

 

GONG BADAK, 30 Sept - Pasukan memanah Pusat Sukan Tumpuan (PST) Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Memanah Program Kecemerlangan Sukan (PKS) UNISZA, Gong Badak, Terengganu dengan mengetepikan pencabar terdekat Kelab Excella Archery dan Pasukan Memanah PKS UNISZA.

 

PST UPM memperolehi 4 emas dan 3 gangsa.

 

Pingat yang dimenangi pasukan PST Memanah UPM diperoleh daripada acara kelayakan recurve wanita 70m, recurve wanita, kelayakan recurve lelaki 70m, recurve individu lelaki, recurve berpasukan campuran, recurve berpasukan wanita, dan compound individu wanita.

 

Pemanah PST UPM Noraliya Ghapar yang juga pemanah kebangsaan memenangi emas acara kelayakan recurve wanita 70m, manakala bagi acara recurve individu wanita beliau mendapat gangsa dan menerima wang tunai RM50.

 

Beliau juga turut membantu pasukan recurve wanita memperolehi pingat emas ketika bergandingan dengan Chery Ludang Goh Pei Loke dan Nur Atiqah Azizi bagi mengetepikan pencabar pasukan PKS UNISZA di tempat kedua, untuk membawa pulang wang tunai RM300.

 

Syarah Syuhaidah Abas pula memenangi pingat emas dan wang tunai RM150 bagi acara compound individu wanita, manakala Mohd Ikram Joni yang juga pemanah kebangsaan bergandingan bersama Nor Aliya Ghapar memenangi emas acara recurve berpasukan campuran, dan menerima wang tunai RM200.

 

Dua lagi pingat gangsa disumbangkan oleh Mohd Ikram Joni bagi acara kelayakan recurve 70m lelaki dan Syarah Syuhaidah Abas bagi acara compound individu wanita.

 

Sebagai johan keseluruhan, Pasukan Memanah PST UPM membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta piala pusingan dan piala iringan.

 

Tempat kedua dimenangi Kelab Excella Archery yang dibarisi beberapa pemanah kebangsaan untuk menerima wang tunai RM1,000 dan piala iringan, manakala Pasukan Memanah PKS Unisza di tempat ketiga dan menerima RM500 berserta piala iringan.

 

Hadiah disampaikan Ketua Pusat Sukan UNISZA, Riduan Mohamad Arof dan wakil penaja dari Excella Archery Pro Shop. - UPM

 

SXDdEA~