| Universiti Putra Malaysia

UPM-JPNIN jalin kerjasama hasilkan Modul Silang Budaya


Oleh: Prof. Madya Dr. Paramasiran Muthusamy

SHAH ALAM, 5 Ogos – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) serta Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menghasilkan Modul Silang Budaya bagi menyuburkan lagi semangat perpaduan, integrasi nasional dan patriotisme di kalangan rakyat pelbagai kaum, khususnya generasi muda.

Program berpandukan Modul Silang Budaya telah dilaksanakan di Kem Bumi Jati, Shah Alam melibatkan seramai 200 orang terdiri daripada guru dan pelajar sekolah menengah dari 22 buah sekolah di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, dan turut dihadiri Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Tan Sri Joseph Kurup berkata bahawa tanpa pendidikan yang bercorak kepelbagaian dan silang budaya, pelajar berkemungkinan tidak akan mengenali jati diri serta keperluan rakan etnik lain dan secara tidak langsung boleh menyebabkan timbulnya isu-isu bersifat perkauman di peringkat sekolah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, penekanan dalam Modul Silang Budaya bukan semata-mata memahami budaya dan adat resam antara kaum sahaja tetapi ia turut mengambil kira aspek kenegaraan serta jati diri dan moral masyarakat bagi melahirkan generasi yang berakhlak, bersahsiah dan bertoleransi.


Prof. Datin Paduka Dr.Aini Ideris pula menyatakan kesediaan pihak UPM untuk bekerjasama dan berkolaborasi bersama JPNIN serta agensi luar yang lain dalam berkongsi kepakaran agar apa yang terkandung dalam Modul Silang Budaya itu dapat direalisasikan untuk membangunkan kesejahteraan pelbagai kaum di negara ini pada masa hadapan. Justeru, katanya, penghayatan kepada amalan prinsip Rukun Negara hendaklah dijadikan asas kepada pembentukan sahsiah pelajar di sekolah. - UPM

WXDdSA3~