UPM Johan Festival Teater Peringkat Universiti Awam MAKUM 2015 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM johan Festival Teater Peringkat Universiti Awam MAKUM 2015

UPM johan Festival Teater Peringkat Universiti Awam MAKUM 2015


Oleh Adidi Tamin & Syifarida Muhamad Zaki

MELAKA, 13 Dis – Buat julung kalinya, Kelab Teater Sejagat PENTAS, Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai johan keseluruhan dalam pertandingan Festival Teater MAKUM 2015.

Teater bertajuk “Badut” hasil karya Khairul Amin itu yang dipilih sebagai johan membawa pulang wang tunai RM3,000. Teater tersebut turut memenangi kategori Kesan Teknikal Terbaik serta Penataan Cahaya dan Audio Terbaik.

Sementara itu, kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi oleh Muhammad Nabil Asyraf Azhar dan Pelakon Pembantu Wanita, Nazreen Ashira Amran. Kelab teater tersebut adalah di bawah naungan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM.

Pertandingan Festival Teater MAKUM kali ini diadakan secara berperingkat dengan 18 buah Universiti Awam bersaing di peringkat saringan yang diadakan di beberapa zon antaranya Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Timur. 



Hanya enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berjaya dipilih ke peringkat akhir dan pementasan di peringkat akhir telah diadakan di Kompleks Taman Budaya Negeri Melaka, Air Keroh.

Ia turut mendapat sokongan penajaan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka.

Sementara itu, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan UPM, Muhammad Hasif Mansor berjaya meraih naib johan pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Asli Peringkat Universiti Awam (UA) MAKUM 2015 di Panggung Percubaan, UPM baru-baru ini.

Beliau yang mendendangkan lagu wajib Mas Merah dan lagu Zapin Budi menerima hadiah wang tunai RM1000, sijil dan piala.

Sepuluh UA menyertai pertandingan itu iaitu UPM, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya Pahang, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
- UPM



Kemaskini:: [norafzan]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511184230