| Universiti Putra Malaysia

UPM jalin dua kerjasama penyelidikan, perkongsian pemindahan ilmu

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Sabri Omar 

BANGI, 23 Nov - Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama dengan dua pihak industri dalam penyelidikan, pembangunan modal insan, aktiviti akademik, khidmat komuniti dan perkongsian pemindahan ilmu.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) membabitkan penyelidikan dalam bidang perkayuan, perhutanan biokomposit dan lignoselulosa.

Manakala MoU antara UPM dan RIMBA Foundation membabitkan kerjasama khidmat komuniti dan program pemindahan ilmu bagi kanak-kanak sekolah dan komuniti, terutamanya dalam aspek kesedaran sertaan pemeliharaan hutan dan alam sekitar. 

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UPM, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan hadir mewakili Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman.

Prof. Ts. Dr. M. Iqbal berkata, kerjasama itu diharap akan mewujudkan sinergi bagi perkongsian kepakaran dan pengetahuan antara penyelidik.

“Ini akan dapat mewujudkan jalinan dan perkongsian antara pihak universiti, institusi dan industri ke arah pengkomersialan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan gentian dan biokomposit serta perkayuan tropika,” katanya.

Turut hadir Pengarah INTROP UPM, Prof. Ts.  Dr. Khalina Abdan; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), MTIB, Kamaruzaman Othman; Pengarah Fibre and Biocomposite Centre (FIDEC) Banting, MTIB, Nor Liza Mat Yasok; Pengerusi Rimbun Foundation, Dato’ Raveendra Kumar Nathan dan wakil Rimbun Foundation, Tamil Selvi Suppiah.

Sementara itu, persidangan kelima Wood and Biofibre International Conference 2021 (WOBIC 2021) bertujuan menyediakan platform perkongsian hasil penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan bidang gentian semulajadi, teknologi perkayuan dan perhutanan yang mempunyai nilai tambah tinggi serta selamat kepada manusia dan alam sekitar. - UPM

WXETQAW~