UPM Jalankan Penyelidikan Peringkat Kedua Potensi Daun Rerama Ubati Kanser | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM jalankan penyelidikan peringkat kedua potensi daun rerama ubati kanser

UPM jalankan penyelidikan peringkat kedua potensi daun rerama ubati kanser

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail

Daun rerama yang sudah dikeringkan


SERDANG, 13 Mac: Umum mengetahui barah antara penyakit yang sukar diubati, dan untuk sekian lamanya pelbagai penyelidikan dilakukan banyak pihak untuk mencari dan menghasilkan ubat serta kaedah perubatan terhadap penyakit yang boleh membawa maut ini.

Usaha berterusan para penyelidik mungkin akan dapat merintis jalan menemui ramuan atau ubat yang berkesan untuk menangani penyakit yang digeruni itu.

Kajian awal olehUniversiti Putra Malaysia (UPM) terhadap tumbuhan yang dikenali sebagai ‘daun rerama’ atau nama saintifiknya Christiavespertilionis ini, mendapati ia menunjukkan ciri-ciri anti barahdan anti keradangan.

Justeru, UPM akan menjalankan penyelidikan selanjutnya dengan menjalankan saringan dan ujian pra-klinikal peringkat kedua terhadap daun rerama.

Pensyarah dan penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Latifah Saiful Yazan berkata kajian peringkat kedua ini akan dijalankan terhadap haiwan (in vivo).

“Dalam kajian itu nanti, sel barah payu dara akan disuntik ke dalam tikus, dan kemudian ia akan dirawat dengan ekstrak daun rerama,” katanya dalam temubual.

Tanaman daun rerama ini diusahakan Encik Khamarul Rezan Lim Abdullah, 58, yang dikatakan bukan sahaja berkesan merawat barah tetapi juga berupaya mengubati penyakit SLE, denggi, angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, masalah usus (seperti gastrik, sembelit dan cirit birit), asma, migrain, resdung dan demam campak.

Dr. Latifah berkata kajian peringkat kedua itu akan menggunakan sebahagian daripada Enterprise Innovation Fund (EIF) sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Untuk kajian tersebut, Encik Khamarul Rezan akan membekalkan daun rerama itu. Beliau sudah mula menanam semula pokok berkenaan, yang akan matang dalam tempoh tiga bulan sebelum daunnya boleh diambil untuk kajian.

Selain untuk penanaman semula pokok, dana tersebut juga digunakan untuk pembelian beberapa peralatan seperti mesin pengering, mesin penghancur dan mesin pembungkus, serta untuk penjenamaan produk.

Menurutnya, saringan pertama yang dilakukan pada 2103 secara in vitro, menggunakan ekstrak daun rerama terhadap enam jujukan sel barah yang sukar dirawat termasuk barah payu dara, peparu, usus besar, serviks dan ovari, mendapati sel yang paling sensitif ialah sel kanser barah payu dara.

Katanya, saringan kedua ini juga akan meneliti profil kimia daun rerama.

Dr Latifah berkata, setakat ini sebagaimana yang dimaklumkan kepadanya oleh Encik Khamarul Rezan, secara umumnya ekstrak daun rerama ini tidak mendatangkan kesan sampingan kepada penggunanya.

Kaedah rawatan yang digunakan ialah meminum rebusan air daun rerama ini, sebagaimana konsep merendam dan meminum air teh.

Menurutnya, daun rerama ini terdapat dalam pelbagai warna tetapi yang digunakan untuk penyelidikan bagi tujuan perubatan ialah daun rerama yang berwarna hijau.

Pokok ini boleh mencapai ketinggian kira-kira dua meter, dan bagi mempercepatkan percambahan, pucuknya harus selalu digunting, katanya.



Menurut Dr. Latifah, kumpulan mereka sedang menjalankan penyelidikan ketoksikan akut dan sub-akut untuk melihat sama ada rebusan air daun rerama boleh mendatangkan sebarang kemudaratan pada haiwan yang dikaji.

Pada masa yang sama, kajian untuk melihat ciri-ciri anti kanser rebusan tersebut dalam haiwan juga akan bermula dalam masa terdekat.

“Pihak UPM tidak bertanggungjawab dengan dakwaan beberapa pengusaha produk berasaskan daun rerama yang mengaitkan produk mereka amat berkesan untuk pelbagai penyakit.

“Penyelidikan UPM masih belum tamat. Berdasarkan kepada geran yang kami terima daripada MOSTI, fokus utama kami buat masa ini adalah kepada ciri-ciri anti kanser daun rerama.

“Jika tiada halangan, projek tersebut akan tamat pada hujung tahun 2016. Walau bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat satu rumusan sehinggalah penyelidikan ke atas manusia dapat dijalankan.

“Mengikut perubatan tradisional, daun rerama sememangnya dikatakan mempunyai pelbagai khasiat.

“Pihak UPM bersedia untuk menjalankan uji kaji bagi pelbagai penyakit yang mungkin sesuai menggunakan daun rerama daripada Seribu Satu Herba Enterprise jika mempunyai pembiayaan daripada agensi kerajaan khususnya MOSTI,” katanya.

Beliau mengulas terdapat viral di laman Facebook pelbagai produk berasas daun rerama yang mengaitkan produk mereka dengan penyelidikan UPM.


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563469747