| Universiti Putra Malaysia

UPM hargai sumbangan staf, wujudkan anugerah khas pekerja

Oleh Syifarida binti Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 12 Jun (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) hargai sumbangan seluruh warga kerjanya dengan mengadakan anugerah khas untuk pekerja terbaik pada sambutan Hari Pekerja Peringkat UPM 2013 di sini hari ini.

Sambutan itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan bagi menghargai sumbangan pekerja kepada kecemerlangan UPM disamping mengeratkan semangat kerjasama dan pemuafakatan antara pihak pengurusan dan pihak pekerja.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan, dalam ucapannya, berkata sambutan Hari Pekerja merupakan wadah bagi menghargai sumbangan seluruh warga pekerja dalam memacu pembangunan negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.

“Sempena sambutan hari pekerja ini, UPM telah mewujudkan Anugerah Tokoh Pekerja yang terbuka kepada semua staf UPM yang dicalonkan bagi kategori Kumpulan Akademik,  Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik), kumpulan Pelaksana, anugerah Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan penyampaian Sijil Pengiktirafan Amalan Persekitaran Berkualiti (5S).

“Pemilihan berdasar kepada kriteria yang melambangkan kecemerlangan dan sifat-sifat istimewa iaitu berpengetahuan, inovatif, kreatif, berdedikasi serta bermotivasi menjalankan tugas.  Sementara Anugerah PTJ terbaik mengambilkira kriteria tentang penyediaan kemudahan untuk pekerja, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bagi memupuk keharmonian di PTJ serta program bagi kesihatan dan keselamatan pekerjaan.



“Saya berharap agar warga universiti dapat meningkatkan keupayaan diri dengan kemahiran (skills), ilmu pengetahuan (knowledge) dan sifat-sifat peribadi (attitude) yang tinggi supaya sentiasa relevan dengan persekitaran yang berubah,” katanya.

Sebanyak tiga kategori Anugerah Tokoh yang telah dikurniakan, iaitu,

* Tokoh Pekerja kategori Pengurusan dan Profesional Aademik; Prof. Madya Dr. Mansor Ahmad@Ayob, Fakulti Sains,

* Tokoh Pekerja kategori Pengurusan dan Professional Bukan Akademik; Yahaya bin Abu Ahmad, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, dan

* Tokoh Pekerja kategori Pegawai Pelaksana; Jaya Veeran A/L Kulandai.



Masing-masing membawa pulang hadiah berupa plak, wang tunai RM1 ribu dan sijil penghargaan.

Penerima Anugerah PTJ bagi tempat pertama pula diraih oleh Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, tempat kedua ialah Pejabat Naib Canselor manakala tempat ketiga, Kolej Kelima.

Sementara itu Fakulti Sains telah berjaya mendapat sijil pengiktirafan Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Bertemakan ‘Pekerja Pemangkin Transformasi Negara’ yang seiring dengan usaha gigih kerajaan mentransformasikan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, UPM turut menampilkan      Datuk Maznah Hamidi daripada Securiforce Sdn. Bhd. bagi menyampaikan Wacana Profesional bertajuk Pekerja Pemangkin Transformasi.

Turut hadir mengetuai bacaan lafaz ikrar hari pekerja ialah Dato’ Wan Azman Wan Omar, Pendaftar UPM. – UPM

-- smz/kgo


SXDcSAo~