| Universiti Putra Malaysia

UPM hantar sijil, transkrip graduan melalui pos

Oleh: Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik

 

SERDANG, 3 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghantar sijil dan transkrip akademik secara pos kepada graduan berikutan penangguhan Majlis Konvokesyen UPM 2020 akibat pandemik COVID-19, untuk membolehkan mereka memohon pekerjaan atau pun melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, graduan yang ingin mengambil sendiri sijil dan transkrip itu boleh berbuat demikian setelah berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Penghantaran dan pengambilan awal sijil dan transkrip akademik melibatkan graduan peingkat prasiswazah dan pascasiswazah program Sepenuh Masa, untuk Eksekutif, Pengajian Jarak Jauh (PJJ), Putra Business School dan Program Kerjasama UPM-IPTS.

Ketua Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa, UPM, Dato’ Rosdi Wah berkata infografik berkenaan pengambilan sijil dan transkrip akademik telah disediakan dalam laman web rasmi Bahagian Akademik. Graduan dikehendaki mengisi maklumat termasuk alamat pengeposan dalam Portal Sistem Maklumat Pelajar (ESMP) (Modul My Konvokesyen).

”Penghantaran akan dibuat setelah bakal graduan melengkapkan yang diperlukan dalam portal ESMP termasuk Kajian Pengesanan Graduan 2020 melalui laman web http://graduan.moe.gov.my dan menjelaskan yuran graduasi,” katanya.

Beliau berkata sijil, transkrip akademik dan album graduan turut diposkan kepada graduan antarabangsa mengguna pakai alamat wakil mereka di Malaysia.

Sehingga ini, seramai 1,213 graduan telah memohon penghantaran sijil dan transkrip akademik manakala sejumlah 236 memilih untuk hadir mengambilnya secara fizikal di fakulti.

Penghantaran fasa pertama bermula 1 Disember lalu melibatkan 170 orang graduan manakala penghantaran fasa kedua melibatkan 318 graduan dihantar pada 4 Disember.

Sehingga kini, 488 graduan telah menerima sijil dan transkrip akademik dalam keadaan baik dan selamat.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen UPM  bagi graduan tahun ini dijangkakan akan diadakan pada tahun 2021 tertakluk pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak universiti. - UPM

WXEXOAQ~