| Universiti Putra Malaysia

UPM hantar lagi 53 sukarelawan pelajar dan staf bantu mangsa banjir di Bera, Pah

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

 



SERDANG, 7 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar lagi Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir 3D fasa kedua menggunakan dua bas ke Sek. Men. Keb. Mengkarak, Bera, Pahang pada 6 Januari dianggotai oleh 53 sukarelawan daripada staf, pelajar tempatan dan 15 pelajar antarabangsa. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran memuji keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang ditunjukkan oleh pelajar antarabangsa terhadap nasib masyarakat tempatan.

Terdahulu seramai sukarelawan UPM yang terdiri daripada 150 pelajar dan staf termasuk pasukan perubatan yang diketuai oleh beliau telah menamatkan misi mereka di Kelantan pada 5 Januari sebelum kumpulan fasa ketiga dan keempat  akan dihantar masing-masing pada 8 hingga 11 Januari dan 13 hingga 16 Januari ini di Kelantan dan Pahang.



“Pada hari terakhir misi di Kelantan semalam, Bahagian Hal Ehwal Pelajar  memberikan sumbangan kepada beberapa buah keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir di Manek Urai Lama.

“Alhamdulillah dalam misi fasa pertama kami berjaya membersihkan Klinik Kesihatan Bandar, Pasir Mas, Kelantan yang rosak teruk akibat banjir sehingga pusat itu mampu beroperasi keesokannya. 

“Selain itu sukarelawan UPM juga membersihkan kawasan persekitaran dan komuniti Taman Rantau Emas, Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan Sek. Men. Keb. Rantau Panjang serta kawasan Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa,” katanya.

 



Beliau berkata pelajar UPM yang berminat untuk menjadi sukarelawan untuk fasa ketiga dan keempat diminta menghubungi Majlis Perwakilan Pelajar segera.

Kempen 3D UPM bermaksud selain menderma, warga UPM menganjurkan solat hajat, bacaan Yassin dan menghantar sukarelawan am, sukarelawan kaunselor dan pegawai agama untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan khidmat mereka.

Orang awam juga boleh menyumbangkan barangan selain pakaian dan produk makanan ke dua buah Pusat Pengumpulan Bantuan 3D UPM di Panggung Percubaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang sebelum disambung di Masjid UPM dari jam 6 petang hingga 9 malam yang beroperasi setiap hari sehingga situasi banjir pulih di negara ini.


SXDcRA~