UPM Guna Teknologi Pelayan Terbuka PRIMEQUEST Keluaran Fujitsu | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM guna teknologi pelayan terbuka PRIMEQUEST keluaran Fujitsu

UPM guna teknologi pelayan terbuka PRIMEQUEST keluaran Fujitsu

Oleh Noor Eszereen Juferi



SERDANG, 9 Jan (UPM) - Universiti Putra Malaysia (UPM) memilih untuk menggunakan empat unit pelayan terbuka PRIMEQUEST, produk teknologi keluaran Fujitsu sebagai sebahagian daripada pelaburan terasnya dalam transformasi Teknologi Maklumat (IT), sekaligus menjadikan UPM sebagai pengguna pertama teknologi dari Jepun itu di negara ini.

Pengarah Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) UPM, Dr. Khairulmizam Samsudin, berkata UPM sedang menaiktaraf sistem sokongan IT dan penggunaan perkakasan PRIMEQUEST sememangnya berbaloi dalam membantu meningkatkan prestasi serta memudahkan lebih banyak penyelidikan dilakukan untuk pembangunan negara.

"Pelayan ini merangkumi jaringan sistem ke seluruh jabatan termasuk pusat operasi urusniaga, dan ia juga akan mengurangkan perbelanjaan tahunan bagi pembelian perisian sehingga 50 peratus," kata beliau pada prebiu akhbar sistem terkini itu di iDEC @ Epsilon, pusat IT UPM di sini hari ini.




Beliau berkata UPM turut menggunakan sebuah lagi pelayan Fujitsu, PRIMERGY bagi menggantikan sistem sedia ada bertujuan mengekang bebanan aplikasi sumber manusia universiti yang kian meningkat dan juga bertindak melindungi aplikasi kritikal tersebut dari kegagalan perkakasan atau perisian semasa sebarang pemindahan dibuat ke sistem yang lain seperti sistem perkomputeran awan.

"Sistem Gaji Sumber Manusia sedia ada sebelum ini mengambil masa 3 jam untuk menyelesaikan proses pengiraan tetapi kini ianya 75% lebih cepat dan dapat diselesaikan dalam tempoh masa lebih kurang 45 minit," katanya.

Dr. Khairulmizam berkata secara keseluruhan penaiktarafan infrastruktur IT UPM ialah sebahagian daripada usaha universiti untuk menjamin kesinambungan urusniaga dan mematuhi pensijilan 27001 2007 ISMS/IEC yang telah dianugerahkan kepada UPM. Ia juga adalah untuk mematuhi sistem Standard Perakaunan untuk Agensi Kerajaan (SAGA) .

Pelayan-pelayan Fujitsu tersebut telah dibeli secara dua fasa (Mac dan April 2013) dan kini beroperasi sepenuhnya bagi menyokong operasi UPM.



Pengurus Kanan Produk Platform bagi Perkhidmatan Penyelesaian dan Infrastruktur Fujitsu Malaysia, Edward Ling, berkata keupayaan teknologi pelayan terbuka PRIMEQUEST telah terbukti dalam memberikan kestabilan prestasi, virtualisasi tanpa risiko, ketersediaan tinggi dan kecekapan kos terbaik.

"Kami juga menerima reaksi yang menggalakkan serta minat yang mendalam terhadap teknologi pelayan terbuka PRIMEQUEST dari industri lain termasuk perdagangan, pendidikan, peruncitan, komunikasi, sektor awam dan perkhidmatan kewangan," katanya



Beliau berkata PRIMEQUEST yang bercirikan komputer kerangka mini ini juga berupaya menjadi platform utuh, mencegah ralat dan pulih sendiri bagi membolehkan sesebuah organisasi menjalankan misi perkomputeran kritikal dengan pelbagai platform sistem operasi lain seperti Microsoft Windows dan Linux OS, juga perisian gred industri dan pangkalan data. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563469728