UPM-Glasgow Global Green Outbound 2016 Jelajah Eropah Pelajari ‘Go Green’ | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM-Glasgow Global Green Outbound 2016 jelajah eropah pelajari ‘Go Green’

UPM-Glasgow Global Green Outbound 2016 jelajah eropah pelajari ‘Go Green’

Oleh  Nurhayatul Nira Ramli


GLASGOW, SCOTLAND – Berpaksikan moto ‘Go Green’ dan hasrat UPM dalam menerajui pelaksanaan konsep kampus hijau, seramai 5 orang pelajar dan seorang pegawai pengiring dari Kolej Tun Dr Ismail telah mengambil inisiatif untuk berkongsi idea dan informasi bersama pelajar-pelajar universiti di United Kingdom melalui penganjuran program UPM-Glasgow Global Green Outbound 2016.

Program mobiliti ini telah berlangsung selama 14 hari dari 5 hingga 18 April 2016 di beberapa universiti terkemuka dunia seperti University of Oxford, University of Glasgow dan University of Edinburgh.

Baru-baru ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diangkat ke kedudukan pertama dalam ranking terbaik Asia dan tersenarai yang ke-17 ranking terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2015 berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitarnya.

Bertitik tolak daripada itu, kumpulan pelajar ini telah mengaturkan program bersama pensyarah dan pelajar Glasgow University Environmental Sustainability Team (GUEST) dalam memperkenalkan dan berkongsi usaha-usaha yang telah diimplentasikan di UPM dengan pelbagai cabaran global yang lebih mencabar seperti cuaca, kepadatan penduduk dan sebagainya.

Para pelajar juga telah didedahkan dengan inisiatif-inisiatif dan penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti of Glasgow dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti penganjuran menganjurkan program Glasgow Green Festival 2016 dengan kerjasama 4 universiti di Glasgow  iaitu University of Strathclyde, University of Glasgow , Universiti Glasgow Caledonian dan Universiti Glasgow Medical School.

Pelbagai acara dan pertandingan turut diadakan bagi memberikan kesedaran dan memperkenalkan alternatif-alternatif teknologi hijau yang baru bagi meningkatkan pemeliharaan alam sekitar.



Dalam program itu diadakan perbincangan meja bulat bersama pensyarah-pensyarah daripada Environmental Science and Sustainability, School of Interdisciplinary Studies, University of Glasgow (Dumfries Campus), Scotland yang telah banyak menyumbang kepada universiti melalui kajian dan program alam sekitar.

Mereka membincangkan perlaksanaan Projek Eco-school di mana pelajar-pelajar akan melkaksanakan pembelajaran di universiti kepada masyarakat dalam pemeliharaan alam sekitar di mana projek itu mendapat sokongan daripada kerajaan Scotland dan  menekankan pembelajaran tentang alam sekitar sejak usia 2 tahun.

Mereka juga menyediakan pelbagai perkhidmatan konsultasi malah laman sesawang khas bagi memastikan setiap masyarakat sedar kepentingan menjaga alam sekitar untuk kesejahteraan hidup.

Selain daripada itu, mereka juga banyak melibatkan pelajar-pelajar dengan program-program pemeliharaan hutan asli seperti di Trust Wetland yang terletak berhampiran dengan kampus di mana pelajar akan pelajari pengurusan alam sekitar, membangunkan aset dan melibatkan komuniti dalam pemeliharaan alam sekitar.

Perbincangan bertumpu kepada persoalan kelestarian bukan untuk alam sekitar semata tetapi merangkumi skop yang lebih luas seperti bidang ekonomi dan pendidikan.

Isu global juga turut diperbincangkan seperti kesan karbon, pemanasan global, perubahan cuaca, pencemaran, dan penguatkuasaan undang-undang dan juga penglibatan sektor industri.

Antara yang turut bersama dalam perbincangan meja bulat adalah Jane Cavani, Dr Carol Hill (Head of School), Dr Betham Wood, Dr Steven Gilespie (Warisan dan Kelestarian), Dr. Tara Shirazi (Pendidikan), Prof. Joseph Murphy dan Dr. Lauren Parry.

Jane selaku ketua, menyatakan program sebegini sangat baik dianjurkan kerana selain bertukar pendapat, pelajar juga dapat meningkatkan ilmu serta kemahiran dalam aspek kecemerlangan akademik dan pengetahuan dari segi pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara.

“Sesi perbincangan ini juga membuka ruang kolaborasi dan menerapkan nilai kerjasama antara kedua-dua universiti,” katanya.

Selain itu, kumpulan mobiliti ini telah berpeluang menimba pengalaman serta pelajari budaya dan cara kerja masyarakat di sana selama berkampung bersama pelajar-pelajar Malaysia di University of Oxford dan University di Glasgow serta melawat kampus universiti-universiti terbaik dunia itu.

Mereka juga berkesempatan singgah dan makan tengahari di kediaman Pengarah Education Malaysia di London, Prof. Madya Dr Zainal Abidin Sanusi.

Impak daripada lawatan ini pelajar dapat meningkatkan kemahiran insaniah terutama dari segi komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah sepanjang pelaksanaan program ini. Selain itu, program ini juga mampu membangunkan mentaliti mahasiswa dan modal insan kelas pertama serta berwibawa kepada negara dan masyarakat global.

Kumpulan Mobiliti UPM-Glasgow Global Green Outbound (3GO) terdiri daripada Nur Shafinaz Zainal, Tan Jia Er, Sri Ramany Pragateswara, Nur Shafiza Ishak dan Aini Nadirah Ahmad Murad serta diiringi oleh felo Puan Nurhayatul Nira Ramli.
 
Kibaran bendera kebanggaan di Kota London.
 
Sesi perbincangan meja bulat bersama pensyarah-pensyarah daripada Environmental Science and Sustainability, School of Interdisciplinary Studies, University of Glasgow (Dumfries Campus), Scotland yang diketuai oleh Ms Jane Cavani.
  
Kumpulan Mobiliti UPM-Glasgow Global Green Outbound(3GO) bersama pelajar-pelajar Glasgow University Environmental Sustainability Team (GUEST), University of Glasgow.
 


 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511032006