UPM Dipilih Tuan Rumah Hari Belia Negara 2016 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM dipilih tuan rumah Hari Belia Negara 2016

UPM dipilih tuan rumah Hari Belia Negara 2016


Oleh:  Noor Eszereen Juferi
Foto:  Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG, 26 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai tuan rumah bagi menganjurkan Hari Belia Negara 2016 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertemakan “Showcase of Talent” pada 15 Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata penganjuran Hari Belia Negara 2016 adalah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan belia atas sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

“Program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada golongan belia untuk lebih kreatif dan produktif dan penganjuran kali ini akan memperlihatkan penglibatan daripada golongan pelajar universiti terutamanya pelajar UPM,” katanya.



Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr.Aini Ideris berkata pemilihan UPM oleh KBS sebagai lokasi utama acara kemuncak Hari Belia Negara 2016 merupakan satu amanah bagi memastikan kelancaran dalam mengadakan 20 aktiviti yang akan berlangsung sepanjang hari.

“Pemilihan UPM juga pasti membanggakan seluruh warga universiti awam di negara kita, dan penglibatan pelajar akan memartabatkan pembangunan belia di negara bagi menyerlahkan potensi serta kemahiran yang dimiliki oleh generasi muda pada masa kini,” katanya.

Antara program yang akan dijalankan ialah Konvensyen Belia 2016, Warna-warni Belia, GOV.my Mobile dan Anugerah Perdana Belia Negara. Selain itu, program Jelajah Kampus Rakan Muda dengan enam siri jelajah juga akan diadakan sebagai acara sokongan kepada Hari Belia Negara.

Sementara itu, pelaksanaan Minggu Belia bermula daripada 9 hingga 14 Mei 2016 di seluruh negara bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Belia Negara 2016. - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300082