| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Kyutech bangun kampus setelit di Serdang

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 8 Mac 
– Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kyushu Institute of Technology, Jepun (Kyutech) memeterai kerjasama menubuhkan kampus setelit atau Malaysia Super Satellite Campus (MSSM) di UPM.

Penubuhan kampus luar Jepun yang pertama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara itu menjadi simbol ikatan dua negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Presiden Kyutech, Dr. Morio Matsunaga berkata kampus setelit itu bukan sahaja menjadi simbol persahabatan dua negara malah merupakan tanda keyakinan Malaysia terhadap teknologi dan budaya kerja Jepun.

“Pemilihan UPM bertepatan dengan hasrat Kyutech untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan Malaysia dan juga negara serantau yang lain.

“Saya harap kerjasama ini dapat melahirkan generasi baru jurutera kedua-dua negara yang tinggi kemahiran kejuruteraan dan inovasi yang menyumbang kepada kemajuan negara masing-masing,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di sini pada 21 Februari lepas.



MoU UPM-KYUTECH ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Presiden Kyutech, Dr. Morio Matsunaga dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan  Duta Besar Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Prof. Dr. Mohd Ali Hassan berkata kerjasama itu melibatkan pertukaran pelajar dan staf, kolaborasi projek penyelidikan, pertukaran penerbitan, laporan dan maklumat akademik dan kerjasama pembangunan profesional.

“Penubuhan MSSM adalah hasil perjanjian kerjasama berbentuk pendidikan dan penyelidikan yang menawarkan program ijazah berkembar UPM-KYUTECH.

“Pelajar yang mengikuti program ini akan melaksanakan pengajian mereka di UPM dan di Kyutech, Jepun. Fasa pertama pengajian melibatkan pelajar UPM bermula April ini di sini (UPM) dan akan disambung di Kyutech, Jepun pada bulan September tahun ini.

“Pelajar juga akan mendapat dua sijil, satu daripada UPM dan satu daripada  Kyutech. Keutamaan diberikan kepada pelajar bidang kejuruteraan, sains komputer, perubatan dan juga bioteknologi,” katanya.

Kerjasama pertama kedua-dua institut itu diterajui oleh Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul  bermula pada 4 Februari 2002 bagi membangunkan projek sistem zero-discharge di kilang-kilang sawit di Sandakan dan di sekitar Sungai Kinabatangan.

Projek berkonsepkan teknologi hijau di Sandakan itu bertujuan untuk memperbaiki sistem pelupusan sisa pepejal kelapa sawit daripada toksik kepada sisa organik selamat bagi mewujudkan kualiti udara yang bersih dan bebas pencemaran. Projek itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu biogas (tenaga elektrik), biodiesel (bahan bakar), biokompos (baja) dan biochar. -- UPM

-UPM/MNM/KAM/DEL


SXDdKAm~