| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Felda D’Saji jalin kerjasama strategik perkhidmatan makanan

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 19 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama strategik bersama Felda D’ Saji Sdn Bhd (FDSB) dalam bidang perkhidmatan makanan melalui pertukaran pengalaman, kepakaran, idea, teknologi dan inovasi kedua-dua belah pihak.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata kerjasama strategik itu melibatkan pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan mutu pengajian dan keberkesanan latihan industri pelajar.

“UPM dan FDSB bersetuju untuk membangunkan tempat pengurusan acara dan makmal akademik Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM)  berdasarkan konsep build-operate-transfer (BOT).

“Kerjasama juga melibatkan perkongsian pintar bagi mempromosikan Dewan Bankuet UPM dan membangunkan model perniagaan pusat perkhidmatan makanan UPM, L’apprenti.

“UPM melalui Institut Produk Halalnya juga akan memberikan khidmat rundingan, penyelidikan dan perkhidmatan profesional kepada FDSB dalam penyediaan dan pemprosesan produk keluaran FDSB,” katanya semasa ucapan perasmian majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dengan FDSB di sini hari ini.


Sementara itu, Datuk Fauzi turut menjelaskan kerjasama kedua-dua pihak turut  memberi faedah ke arah penjenamaan dan pengantarabangsaan universiti.

“Pelaksanaannya menyokong dasar Inisiatif Pembaharuan Strategik dengan menggunakan pendekatan Inisiatif Pembiayaan Swasta berdasarkan cadangan Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

“Pelaksanaan pintar ini membuka dimensi baru aktiviti akademik dan pengkomersilan kedua-dua pihak terutamanya dalam aspek kajian teknologi baru yang mampu memberikan nilai tambah dalam industri perkhidmatan makanan.

“Selain daripada meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran graduan UPM dalam industri perkhidmatan makanan, kerjasama ini juga mampu bertindak menyediakan sumber pendapatan kepada universiti ,” katanya.

MoU UPM-Felda D’Saji ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Pengarah Eksekutif Kanan Felda D’Saji Sdn Bhd, Ahmad Zaki Abdullah.

Turut hadir, Dekan FSTM, Prof. Dr. Mohd Yazid Abd. Manap dan  Pengurus Besar Kanan FDSB, Ahmad Nordin Othman.


SXETFAZ~