| Universiti Putra Malaysia

UPM-CUCKOO International jalin kolaborasi penyelidikan air berkualiti

Oleh: Noor Aida Shaheera Zulkafli

 

KUALA LUMPUR, 6 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Surat Perjanjian Kolaborasi dengan CUCKOO International dalam projek ‘H2O Industrial Centre of Excellence’ (HO ICOE).

Projek H2O ICOE itu akan dilaksanakan melalui tiga fasa dalam tempoh lima tahun bertunjangkan matlamat untuk menubuhkan Pusat Rujukan Industri Kebangsaan (Industrial National Reference Centre).

Pusat Rujukan itu akan berfungsi sebagai penanda aras bagi kualiti air untuk perindustrian dan untuk rakyat memperoleh air bersih.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata majlis menandatangani perjanjian kolaborasi itu mencatat peristiwa penting kerjasama penyelidikan yang lebih dekat dalam kalangan akademik dan industri.

Katanya, kejayaan hubungan UPM-CUCKOO juga membabitkan pertukaran Surat Tawaran dan Surat Penerimaan melibatkan penyelidik dari Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains, dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan Cuckoo International ke arah penubuhan Projek ICOE mengenai Air.

Beliau turut melahirkan kegembiraan menyaksikan komitmen semua pihak dalam mewujudkan kerjasama dan ikatan yang lebih erat untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menerajui penyelidikan translasi dalam ekosistem penapisan air.

“Saya yakin bahawa perkongsian ini akan memacu gelombang baharu perkembangan bertaraf dunia dalam sektor penapisan air yang boleh diminum,” katanya.

Selain itu, terdapat rancangan untuk menubuhkan Muzium Air dan Pusat Pengalaman Air yang akan menyediakan kajian kes serta maklumat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan air yang berkualiti dan sihat.

Penyelidikan itu akan dijalankan oleh kumpulan pakar daripada pelbagai fakulti diketuai Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris, pakar dalam kajian Hidrokimia, Kualiti Air, Kimia dan Forensik Alam Sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International, Hoe Kian Choon pula berkata, pelaburan CUCKOO sebanyak RM10 juta dalam projek itu mencerminkan potensi yang ada dan sebagai visi untuk mengubah landskap industri rawatan air di Malaysia untuk menghasilkan produk secara lokal dalam memenuhi keperluan pengguna.

Perjanjian berkenaan disempurnakan Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini bagi pihak UPM manakala Hoe bagi pihak CUCKOO International.

Ia disaksikan Ketua Pengawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari dan Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat (UPM), Prof. Dato’ Dr.-Ing Ir. Renuganth Varatharajoo. - UPM

 

 

 

WXDdHAp~