| Universiti Putra Malaysia

UPM cipta sejarah, raih dua emas sepak takraw Sukan Arafura, Darwin

Oleh Amin Mustafha

 

DARWIN, (Australia) - Pasukan sepak takraw, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi dua pingat emas melalui acara beregu dan regu pada Kejohanan Arafura Games 2019, di Darwin, Australia.

Ia merupakan sejarah buat pasukan UPM kerana ia adalah kali pertama UPM muncul juara bagi kedua-dua acara itu. UPM kali pertama menyertai kejohanan Sepak Takraw Arafura Games pada 2011 dan tewas kepada Thailand di peringkat akhir.

Pada perlawanan akhir acara beregu, UPM menewaskan University National Jakarta Indonesia, manakala bagi acara regu menundukkan Singapura, untuk muncul juara kedua-dua acara.

Kejohanan berlangsung dari 30 April hingga 4hb Mei 2019.

Dalam peringkat kumpulan acara beregu, UPM menewaskan Australia B, Indonesia B, Filipina dan Singapura A untuk muncul juara kumpulan.

Manakala bagi peringkat kumpulan acara regu, UPM menewaskan Australia A, Filipina, India dan Universiti National Jakarta, Indonesia.

Pasukan yang menyertai acara sepak takraw ialah dari Indonesia, Singapura, Australia yang masing-masing menghatar dua pasukan, manakala India, Filipina dan Malaysia masing-masing satu pasukan.

UPM diwakili Mohamad Suhairi Sulaiman, Meor Mohd Zulfikar Mat Amin, Mohamad Danial Baharin, Wan Muhamad Anas Muhaimi Wan Mohd Asri, dan Muhamad Lutfil Hadi Azmi, manakala Shahrulnizar Nurhalim sebagai pengurus dan Mohamad Razizi Midin sebagai jurulatih.

Semua atlet UPM itu adalah pelajar sepenuh masa di UPM dan turut beraksi dalam Liga Sepak Takraw Kebangsaan (STL) 2018.

Penyertaan pasukan sepak takraw UPM ke Arafura Games 2019 adalah sebahagian program pembangunan atlet sepak takraw UPM bagi 2019 dan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Sukan Antara Universiti (MASUM) dan Kejohanan Liga Sepak Takraw Kebangsaan 2019.

Dua lagi program pendedahan kejohanan antarabangsa yang dijangka disertai oleh pasukan UPM adalah siri kejohanan di Thailand dan Indonesia.

Kejohanan Arafura Games 2019 dianjurkan oleh Kerajaan Northen Territory Darwin Australia. Seramai 1,500 atlet dari pelbagai negara menyertai kejohanan itu antaranya Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, China, Papua New Guinea, Brunei, Kemboja, Samoa, Austria, Kanada, Taiwan, Cook Islands, Republik Czech, England, Fiji, Perancis, Britain, Hong Kong China, Hungary, India, Jepun, Kazakhstan, Kiribati, Macau China, Malta, Marshall Islands, Nauru, Nepal, New Caledonia, New Zealand, Romania, Rusia, Solomon Islands, Thailand, Timor-Leste, Tonga, Tuvalu, Ukraine, UAE, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Vanuatu dan Vietnam dan tuan rumah Australia.

Sebanyak 17 acara dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, bola keranjang, bola keranjang 3 x 3, bola tampar pantai, bola tampar dewan, tinju, bola sepak, muay thai, bola jaring, perahu layar, renang, skuasy, ping pong, tenis, sepak takraw dan angkat berat. Turut dianjurkan ialah sukan Para bagi acara olahraga, renang, tenis dan ping pong. - UPM

WXEUFAN~