| Universiti Putra Malaysia

CEM UPM Anjur SISWAPRENEUR STARTUPBIZ@CEM


Oleh : Najihah Harun

MELAKA, 11 Februari - Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan kursus Siswapreneur StartupBiz@CEM bagi membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Pengarah CEM UPM, Dr. Mass Hareeza Ali @ Hamid berkata kursus ini dikhaskan kepada pelajar UPM dalam usaha menambah ilmu serta meningkatkan pengalaman pelajar untuk merancang bagi menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu opsyen kerjaya apabila bergraduat.

“Kita berharap pelajar UPM akan mempelopori bidang perniagaan kerana ini secara langsung menjana pendapat yang lumayan malah memberi peluang kerjaya kepada masyarakat di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, pelajar UPM yang menyertai kursus itu diberi tugasan untuk merangka Rancangan Perniagaan dan diberikan tugasan ‘Enterpreneur Challenge’ dengan menjalankan jualan secara  langsung di sekitar Bandaraya Bersejarah itu.

Pengalaman jualan langsung atau ‘direct selling’ itu membuka mata pelajar dari segi teknik dan cara berkomunikasi dengan pelanggan secara berhemah. Kursus ini turut menyalurkan maklumat berkenaan sokongan institusi kerajaan dengan institusi bukan kerajaan dalam melahirkan usahawan di kalangan graduan universiti awam.

Kursus tersebut dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha menjadikan keusahawanan sebagai opsyen kerjaya selepas bergraduat di mana ia bukan sahaja membantu mengurangkan kadar pengangguran graduan malah pelajar dapat menjana pendapatan sendiri semasa dalam pengajian.

Di dalam kursus ini, CEM UPM turut menjemput beberapa penceramah yang berpengalaman dalam bidang keusahawanan untuk memberi suntikan motivasi serta meningkatkan semangat para pelajar untuk menceburi dunia keusahawanan.

Antara agensi yang terlibat di dalam program ini adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan SME Bank. Di akhir kursus ini, sebanyak 21 syarikat milik peserta telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. - UPM

 

SXETTA~