| Universiti Putra Malaysia

UPM catat sejarah guna platform dalam talian untuk sebar ilmu

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 7 April (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah sebagai universiti pertama di negara ini menggunakan platform dalam talian untuk memudahkan staf akademiknya menyebarkan ilmu kepada semua pihak yang berminat.

Platform dikenali sebagai  “Putra Massive Open Online Course”  atau PutraMOOC ini dilancarkan Menteri Pendidikan 11,  Dato’ Seri Idris Jusoh  di sini hari ini.

PutraMOOC merupakan perkhidmatan terbaru UPM kepada masyarakat Malaysia dan dunia amnya, di mana kursus dalam pelbagai bidang ilmu disediakan melalui syarahan video, forum interaktif, bualan, kuiz dan pelbagai bentuk tugasan lain.

Program yang disifatkan sebagai ‘persekitaran pembelajaran abad ke-21’ ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertainya, tanpa dikenakan sebarang yuran. Mereka hanya perlu mendaftar secara dalam talian di http://putramooc.upm.edu.my/www/main.htm.

Setiap kursus memakan masa tujuh hingga lapan minggu.

Kursus yang terdapat mulai hari ini ialah “Agriculture and Man” (Pertanian dan Manusia) dan “Malay Arts” (Kesenian Melayu). Kursus lain akan disediakan setelah ia diubah suai daripada kursus secara dalam kampus UPM untuk kegunaan PutraMOOC.



Dalam ucapan pelancarannya, Dato’ Seri Idris Jusoh mengucapkan syabas dan tahniah kepada UPM kerana menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan kursus tersebut,  dan menurut beliau, program ini dapat memenuhi suatu kekurangan dalam usaha orang ramai untuk menambah ilmu.

Beliau berkata dalam mendirikan PutraMOOC, UPM sekarang adalah antara universiti terkemuka di dunia seperti Harvard yang telah menawar program pembelajaran luar kampus.

Pada 11 Mac lalu, beliau berkata beliau telah memaklumkan kepada wakil IPTA yang hadir ketika ‘sesi makan malam dan perbincangan MOOC’ bahawa semua universiti akan mendaftar dalam OpenCourseWare (OCW) Consortium sebagai langkah awal sebelum migrasi kepada MOOC.

Menteri itu juga berkata pihak kementeriannya akan menimbangkam permohonan peruntukan dibawah Rancangan Malaysia ke-11 sebanyak RM500 juta bagi pelaksanaan MOOC untuk semua IPTA dibawah satu platform.

Dato’ Idris berkata beliau yakin program ini berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat yang akan membolehkan golongan bekerja dan yang belum memiliki ijazah, meneruskan penganjian secara sambilan untuk mencapai cita-cita mereka memiliki kelulusan di peringkat itu.



Sementara itu, dalam kenyataan alu-aluannya, Naib Canselor UPM Prof Dato’ Dr Mohd Fauzi Hj Ramlan berkata penubuhan PutraMOOC  adalah sejajar dengan Inisiatif Pendidikan Terbuka Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Melalui PutraMOOC juga,  UPM menawarkan kursus wajib mengenai  “Islamic Civilization and Asian Civilization” (TITAS)  yang boleh diikuti semua pelajar baharu dari semua universiti awam.

Penyediaan platform pembelajaran baharu ini juga adalah sejajar dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara, yang meliputi pembelajaran sepanjang hayat, pengantarabangsaan dan pemindahan ilmu.

Maklumat lanjut tentang program ini boleh didapati dengan menghubungi Prof. Madya  Dr Alyani Ismail, Timbalan Pengarah (Pengajaran dan Pelbelajaran), Pusat Pembangunan Akademik (CADe) melalui talian  603 – 8946 6175 atau  aida@upm.edu.my

-- upm/kgo/sp


WXDdXAe~