| Universiti Putra Malaysia

UPM berjaya komersialkan kit kesan DNA babi ke peringkat global


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

KUALA LUMPUR –  Institut Penyelidikan Makanan Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengkomersialkan HaFYS Porcine DNA Detection Assay iaitu sistem bagi mengesan DNA babi, ke pasaran global.

Penyelidik IPPH, Prof. Dr. Suhaimi Mustafa berkata kit yang dicipta pada tahun 2011 itu telah dilesenkan secara eksklusif kepada DxNA LLC, iaitu sebuah syarikat di Amerika Syarikat untuk digunakan pada mesin PCR GeneSTAT.

“Dengan adanya pelesenan ini, produk ini dapat dikomersialkan ke luar negara. Pada masa ini, kit tersebut telah dipasarkan di Eropah dan Asia Barat,” katanya pada sidang media Putra Cipta, di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di KL Convention Centre.

Prof. Dr. Suhaimi berkata keputusan ujian DNA babi hanya memerlukan masa sejam untuk kit tersebut menganalisis dengan memaparkan keputusan melalui skrin di bahagian hadapan kit itu.

“Ini menjimatkan masa, dan kaedah ini melenyapkan keraguan bahawa sampel berkemungkinan diubahsuai oleh pihak ketiga dalam proses pengesanan kandungan,” katanya.



Beliau berkata, kelebihan yang ada pada mesin itu adalah mudah alih yang membolehkan ujian dapat dilakukan dengan tepat ke atas DNA babi, boleh dilakukan di mana-mana dan boleh dikendalikan dengan mudah.

“Perbezaan sistem ini dari sistem ujian DNA yang lain adalah ia tidak membenarkan sebarang pencemaran pada sampel yang diuji kerana ia adalah sistem tertutup (closed system) yang tidak memerlukan ektraksi DNA,” katanya.

“HaFYS dan sistem PCR GeneSTAT mempunyai sensitiviti dan ketepatan teknologi DNA bagi mengesan tahap pencemaran DNA babi dengan kandungan serendah 0.001% serta mempunyai ciri-ciri yang memudahkan penggunaan dan tidak memerlukan pengekstrakan DNA yang rigid,” katanya.

Kit tersebut sebelum itu telah dibangunkan bersama Allahyarham Prof. Datuk Dr. Yaakob Che Man dan pelajar pascasiswazah UPM.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Kaysha Kencana Sdn. Bhd., Shamsul Bahrin Abdul Aziz berkata syarikat-syarikat dan badan-badan pensijilan halal di Asia Tenggara perlu mengambil langkah proaktif untuk mengesan dan mengawal pencemaran bahan daripada babi pada produk yang mempunyai sijil halal.

“Kebarangkalian untuk terjadinya pencemaran secara sengaja atau tidak sengaja adalah semakin tinggi dengan sistem ‘supply chain’ yang semakin kompleks. Dengan adanya teknologi kit halal ia dapat membantu pihak berkaitan untuk menjalankan proses pengesahan tersebut,” katanya. - UPM


SXEZPA6~