| Universiti Putra Malaysia

UPM beri penganugerahan sempena MGP dan Sambutan Hari Pekerja


Oleh:  Noor Eszereen Juferi
Foto:  Norazreen Awang

SERDANG, 10 Mei – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM)  memberi 11 penganugerahan kepada staf yang cemerlang sempena Majlis Gemilang Putra dan Sambutan Hari Pekerja 2016.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berharap warga universiti akan terus melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan serta memantapkan sifat-sifat peribadi bagi memastikan sentiasa relevan dengan persekitaran masa kini.

“Walaupun kita diberi KPI dalam mengurus prestasi tetapi kita harus berpegang dengan nilai integriti, berteraskan ihsan dalam menitikberatkan kualiti serta tidak ketinggalan untuk terus relevan dengan peredaran masa dan prestasi universiti,” katanya.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata pelaksanaan kedua-dua majlis adalah aktiviti penting bagi menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih Universiti kepada warganya yang menabur khidmat bakti yang cemerlang dengan rasa setia dan penuh tanggungjawab.

“Saya optimis ia akan menjadi daya penggerak dan pendorong motivasi kepada warga UPM untuk terus berusaha dengan tekun secara berterusan bagi meningkatkan produktiviti dan mutu kerja,” katanya.



Majlis Gemilang Putra adalah majlis pengiktirafan universiti kepada staf yang cemerlang pada tahun 2015. Sebanyak lima kategori dianugerahkan termasuk Anugerah Jasamu Dikenang yang dianugerahkan kepada  lapan pegawai yang meninggal dunia.

Selain itu, Anugerah Jasa Putra disampaikan kepada 191 pegawai yang telah bersara, Anugerah Setia Putra kepada 21 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 20 tahun di UPM, Anugerah Bakti Putra iaitu 93 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 30 tahun di UPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diterima oleh 485 pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang bagi tahun 2015.

Untuk sambutan Hari Pekerja pula, sebanyak enam kategori dianugerahkan iaitu Anugerah Tokoh Pekerja (P&P Akademik) yang diterima Prof. Dato’ Dr. Abu Bakar Salleh dan Anugerah Tokoh Pekerja (P&P Bukan Akademik), Chek Zan Kasah.

Anugerah Tokoh Pekerja (Pegawai Pelaksana), Shamsudin Bojang; Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (P&P Akademik), Prof.Dr. Maznah Ismail; Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (P&P Bukan Akademik), Mohamad Aris Said dan Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (Pegawai Pelaksana), Sarawandi Patiman. - UPM


 


WXDcRA~