| Universiti Putra Malaysia

UPM, BAV MENANDATANGANI PERJANJIAN PENJUALAN PATEN KOMERSIL VAKSIN KAMBING

SERDANG, 24 Sept – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mengkomersilkan inovasi vaksin STVac7 semburan intranasal untuk kambing dan biri-biri bagi mencegah penyakit yang menyerang paru-paru atau pneumonia kepada kumpulan haiwan tersebut dengan nilai jualan paten RM4 juta kepada syarikat BIO-Angle VACS Sdn Bhd (BAV).

Penjualan paten Mannhemia Haemolytica Bacterial Polypeptides and Sequences, Gene Sequences and Uses Thereof (MY-176715-A) telah dimeterai melalui perjanjian tiga hala melibatkan UPM, UPM Innovation Sdn Bhd dan BAV yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff.

Turut hadir bagi menyempurnakan sesi penjualan paten itu antaranya , Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Pengerusi BIO-Angle VACS Sdn Bhd, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Innovations Sdn Bhd, Azrul Reza Aziz.

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata permeteraian Perjanjian Penjualan Paten kepada pihak BAV merupakan nilai penjualan pengkomersilan tertinggi yang dicapai oleh UPM setakat ini. 

“Kejayaan pengkomersilan ini adalah hasil usaha sama di antara Putra Science Park UPM dan UPM Innovations yang juga merupakan anak syarikat UPM Holdings,” katanya.

Tambah beliau, BAV kini dalam proses membina fasiliti bernilai RM8 juta untuk pengeluaran STVac7 serta fasiliti bakteria vaksin bertaraf GMP ini adalah yang pertama seumpamanya di

Asia Tenggara dan mampu membuat pengeluaran sehingga 300,000 botol dalam masa setahun.

“Ianya telah pun 80% siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku terakhir 2022 setelah mendapat persijilan dan akreditasi GMP daripada badan kawal selia tempatan,” katanya.

Datuk Dr. Mohd Daud berkata, BAV mensasarkan sebanyak 20 juta kambing dan bebiri iaitu bersamaan dengan 1% daripada jumlah keseluruhan populasi kambing dan bebiri diseluruh dunia. Melalui unjuran ini, BAV berpotensi untuk menjana pendapatan sebanyak USD80 juta setahun.

“Hasil daripada kerjasama erat ini, BAV telah menandatangani perjanjian jual beli dengan 2 syarikat luar negara untuk memasarkan 100,000 botol STVac7 ke negara China dan Nigeria sementara pasaran lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, Mongolia, Senegal, Indonesia, Amerika Selatan kini dalam proses penilaian serta perbincangan dan bakal dimeterai kelak,” katanya.

Vaksin STVac7 merupakan vaksin jenis semburan intranasal pertama bagi mencegah penyakit paru-paru atau pneumonia yang menyerang kambing dan biri-biri yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Zamri Saad dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM.

Beliau berkata vaksin yang dibangunkan itu mampu memberikan lebih 90% perlindungan terhadap penyakit pneumonia yang disebabkan oleh virus Pasteurella haemolytica.

“Virus Pasteurella haemolytica adalah bakteria yang menyebabkan ‘mannheimiosis’ atau jangkitan radang paru-paru di kalangan kambing dan biri-biri dan ia merupakan penyakit biasa yang boleh menyerang 60% populasi kambing dan bebiri di dunia akan mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar kepada industri ruminan kecil di seluruh dunia,” katanya.

Tambah beliau, vaksin yang sedia ada bagi mencegah penyakit itu merupakan vaksin import dan dihasilkan daripada jenis asing dan diberi secara suntikan intraotot kepada kambing dan biri-biri. Vaksin jenis itu didapati bukan sahaja tidak berkesan, tetapi mahal. 

“Vaksin STVac7 dicipta dengan menggunakan bakteria terpencil tempatan yang didapati mampu memberi perlindungan daripada jangkitan bakteria ‘Mannheimia haemolytica’ A2, A7 dan A9 serta terbukti memberi perlindungan yang lebih berkesan untuk menangani penyakit tersebut,” katanya.

Katanya memandangkan sistem pernafasan merupakan kaedah utama jangkitan berlaku, konsep vaksin itu adalah untuk memperkukuhkan tahap ketahanan sistem badan pada sistem pernafasan.

Pemberian vaksin tersebut secara semburan pada hidung memberi perlindungan kepada sistem pernafasan kambing dan biri-biri secara setempat dan sistemik. Dengan ini meningkatkan kadar keberkesanan proses vaksinasi. Kaedah ini turut memendekkan 80% masa pemvaksinan.

Ujian yang dijalankan oleh pihak FPV dengan kerjasama daripada pihak BAV, hasil dapatan kajian lapangan dan kajian klinikal, jika vaksin tersebut digunakan mengikut protokol yang disyorkan, ia mampu mengurangkan kadar mortality (kadar kematian) sehingga 3-5% dan tidak memerlukan tempoh penarikan sebelum proses penyembelihan. - UPM

SXDdIAS~