| Universiti Putra Malaysia

UPM bantu Persatuan Kanwork kumpul dana pesakit kanser melalui KanWork Charity Hi-Tea 2017

Oleh Syifarida Zaki

Foto oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 26 Ogos – Pusat Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM) bantu Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) menganjurkan Charity Hi-Tea 2017 di Dewan Besar UPM untuk mengumpul dana membiayai aktiviti pesakit kanser.

Pengerusi KanWork, Dr. Mazanah Muhamad berkata KanWork memerlukan dana yang mencukupi untuk membantu pesakit kanser, bekas pesakit kanser dan ahli keluarga yang memerlukan.

“Majlis hari ini merupakan salah satu program teras KanWork untuk mengumpul dana persatuan bertujuan membiayai aktiviti dan kebajikan pesakit kanser seperti mengadakan program sokongan dan pendidikan kanser, sosial dan riadah, serta kesedaran kanser kepada masyarakat.

“Kanwork tidak memiliki sebarang sumber tetap sejak awal penubuhan pada tahun 2005 lalu.  Oleh itu sumbangan dan sokongan samada individu atau organisasi amat dialau-alukan," katanya.

Turut diadakan ialah majlis pelancaran MyGift2KanWork oleh Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Hajah Mariam Mas Yacob, cabutan bertuah dan pameran pendidikan kanser.

Pelancaran itu memperkenalkan platform mengumpul sumbangan dana menerusi http://donate.kanwork.org bagi membolehkan orang ramai menyumbang secara terus kepada persatuan itu.  

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berharap agar UPM dapat membantu Persatuan KanWork bagi terus memastikan masyarakat menjadi celik kanser dan bermaklumat.

“Saya yakin dengan penglibatan Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (CaRE), UPM dan Persatuan Alumni UPM dapat membantu dan memberi sokongan dalam menggiatkan aktiviti kesedaran mengenai kanser kepada masyarakat umum,” katanya.

Seramai 300 peserta hadir pada majlis itu terdiri daripada ahli KanWork, organisasi korporat, pesakit, survivor kanser, ahli keluarga pesakit kanser, sukarelawan dan orang awam.

Sementara itu Tengku permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menjadi penaung KanWork pada 17 Ogos yang lalu.

KanWork adalah sebuah badan bukan kerajaan (NG0) yang ditubuhkan pada tahun 2005 rentetan dari penubuhan Projek Penyelidikan dan Pendidikan Kanser (Caed) di Institut Pengajian Komuniti dan Keamanan, UPM (PEKKA) pada tahun 2002.

SXERGAe~