| Universiti Putra Malaysia

UPM bantu melestarikan pengkomersialan industri gaharu di Malaysia

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan


BUKIT JALIL, 18 DIS – Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2012 berjaya membincangkan maklumat terkini mengenai kaedah penanaman dan rangsangan penghasilan gaharu bagi pengusaha ladang karas dan industri berasaskan gaharu.

Pengerusi Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2012, Prof. Dr. Hamami Sahri berkata seminar itu merupakan platform terbaik untuk peserta mempelajari kaedah penggredan baharu, pemprosesan minyak, amalan pemasaran dan promosi hasil gaharu di Malaysia.

“Seramai 24 pakar industri gaharu daripada ahli akademik, wakil jabatan kerajaan, pemimpin organisasi, pengusaha ladang dan pengguna produk gaharu akan membentangkan kertas kerja,” katanya.



Seminar itu merupakan kesinambungan dari Seminar dan Pameran Gaharu 2010 yang telah diadakan pada tahun 2010.

Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata pokok karas yang menghasilkan gaharu semakin berkurangan dan diancam kepupusan manakala permintaan negara pengimport semakin bertambah.

“Sekiranya tiada usaha untuk penanaman semula, Malaysia tidak mungkin dapat menjadi pengeksport hasil gaharu yang tinggi nilai permintaanya ke negara-negara Timur Tengah, Taiwan dan Jepun.

“Usaha penanaman semula spesis ini harus dipergiat bagi mengelakkan kepupusan akibat aktiviti pengambilan gaharu secara berleluasa tanpa kawalan.

Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeane Abdullah turut hadir membentangkan kertas kerja bertajuk Pengurusan Sumber Pokok Karas, Polisi, Pasaran dan Promosi Industri Produk Gaharu dan Inovasi dan Teknologi Gaharu pada seminar itu.


SXEZIAK~