| Universiti Putra Malaysia

UPM bakal terima rumah tradisional Jerantut, Pahang berusia 90 tahun

Oleh Nursyahirah Ariffin
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 20 Nov (UPM) – Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) bakal menerima Rumah Pahang untuk pemuliharaan dan penyelidikan bagi pengkaji seni bina Melayu lama.  

Rumah Pahang yang berusia 90 tahun itu dibina di mukim Kelola, Jerantut pada tahun 1924 dan pernah diduduki oleh penghulu mukim, Ismail Khatib Bakar.

Rumah itu diserahkan secara simbolik oleh Ahli Parlimen Jerantut, Nazlan Idris di mana proses pembukaan dan pemasangan rumah itu dari Jerantut ke UPM akan dibuat tidak lama lagi.

 



Sementara itu, Muzium Warisan Melayu dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina dan Ladang Alam Warisan turut mengadakan Pameran Seni Bina Warisan Melayu yang berlangsung selama 9 hari bermula pada 20 hingga 28 November 2014.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof Madya Dr. Abdul Mua’ti @Zamri Ahmad berkata pameran itu bertujuan untuk membangunkan warisan Melayu melalui penubuhan Muzium Warisan Melayu di UPM yang merupakan muzium pertama seumpama itu di Malaysia.

“Pameran ini dapat memberi manfaat kepada bangsa Melayu kerana dapat memberi sumbangan berbentuk ilmu pengetahuan kepada generasi akan datang,” katanya.



Sepanjang pameran itu, turut berlangsungnya Prelude International Malay Art and Culture (IMAC): Warisan Tamadun Melayu selama tiga hari bermula pada 21 hingga 23 November 2014 yang mengetengahkan persembahan kebudayaan Melayu seperti tarian, gamelan dan demonstrasi silat. 

Terdapat juga permainan tradisional Melayu seperti lompat getah, congkak, guli/gasing, mewarna wau, teng teng dan konda kondi untuk orang ramai.




Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang merasmikan pameran itu berkata jumlah pelajar yang mengikuti pengajian itu 'boleh dibilang dengan dua tapak tangan' dan keadaan itu diakui ketua-ketua bidang Pengajian Melayu di universiti lain.

"Mungkin disebabkan keghairahan generasi sekarang yang menumpukan subjek lain hingga budaya dan warisan kita dilupakan,” katanya.


SXDdCAd~